Anda di sini

Anasuziana tidak sangka dinobat Miss Talent World Harvest Festival

Advertisement
 Jane (kiri) dan Hayati (kanan) sedang memakaikan tiara kepada Anasuziana (tengah) di majlis Miss Talent World Harvest Festival 2017.
TAHNIAH: Jane (kiri) dan Hayati (kanan) sedang memakaikan tiara kepada Anasuziana (tengah) di majlis Miss Talent World Harvest Festival 2017.

KUCHING: Anak kacukan berbangsa Cina Bidayuh, Anasuziana Bong dinobatkan sebagai Miss Talent World Harvest Festival 2017 selepas mendendangkan sebuah lagu keroncong bertajuk ‘Bengawan Solo’ kelmarin.

Beliau tidak menduga apabila namanya diumumkan oleh hos majlis Iwan dan Ethel sebagai pemenang pada malam itu menewaskan dua lagi rakan seperjuangan yang bertanding bagi gelaran yang sama.

Gadis berusia 18 tahun itu dilihat bersahaja di atas pentas sewaktu membuat persembahan namun suara lunaknya benar-benar memukau penonton sekitar 300 orang di Teater Kampung Budaya Sarawak (SCV) malam Jumaat lalu.

Katanya ketika ditemui beliau benar-benar berlatih bernyanyi setiap kali biarpun pada saat sedang mandi di dalam bilik air.

“Mula-mula ada rasa gemuruh sedikit tetapi sejurus sahaja mempersembahkan lagu tersebut saya sesungguhnya merasa lega,” katanya.

Bahkan beliau mengakui pengaruh neneknya yang juga seorang penyanyi lagu keroncong, Connie Dehat kini berusia lewat 70 tahun membuatkannya juga minat dengan lagu-lagu keroncong.

Sedikit demi sedikit kerana sering dibawa ibunya pulang ke kampung membuatkan dirinya rapat dengan nenek beliau dan turut diajar teknik-teknik berlagu keroncong.

“Jadi kami sering bernyanyi bersama,” akui anak gadis itu kepada pemberita.

“Buat masa ini apa yang saya lakukan adalah menghafal soalan dan jawapan dan rasanya sudah bersedia dengan sebarang soalan yang akan diberikan oleh panel juri semasa pertandingan ratu Miss Harvest Festival 2017 nanti,” katanya.

Anasuziana juga memasang niat selepas tamat sahaja pertandingan ratu cantik ini beliau mahu mendaftar untuk memasuki Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Lundu.

Beliau membawa pulang wang tunai RM1,000, sebuah tiara, trofi, kain serempang, percutian dua hari satu malam di Hotel Grand Margherita dan sejambak bunga percaya walaupun tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik dan menyanyi seseorang itu masih mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

Sementara itu, Phung Jin Wen berbangsa Cina yang mempersembahkan kombo seni mempertahankan diri pula menduduki tempat kedua manakala Rabbani Mariani kacukan Iban Melayu yang mempersembahkan tarian kontemporari di tempat ketiga.

Phung membawa pulang wang tunai RM700, kain serempang, percutian dua hari satu malam di Hotel Grand Margherita dan sejambak bunga.

Manakala, Rabbani membawa pulang wang tunai RM500, kain serempang, percutian dua hari satu malam di Hotel Grand Margherita dan sejambak bunga.

Finalis lain yang turut menyertai pertandingan Miss Harvest Festival 2017 adalah Rowena Jala, Caroline Kueh, Shastaclaire Drickerson, Fiona Wilson, Hazmiena Zamri, Grandy Mina Mihim, Kimberley Mau Panus, Nur Asnieza Fatin dan Murshafeeza Abdul Elias.

Panel Juri yang mengadili adalah Aktivis Teater Zakaria Hassan, Penghibur Norafizah Busman dan Penyampai TV (RTM Sarawak), Damia Cassandra.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Soedirman Aini ditemani isteri Hayati Arshad dan Pengurus Besar Kampung Budaya Sarawak (SCV) Jane Lian Labang.

  • oleh
  • Advertisement