
PULUHAN artis termasuk Roger Waters menggesa Radiohead untuk membatalkan sebuah konsert di Israel, dan menyatakan band yang terkenal kerana politik haluan kirinya harus menyertai seruan boikot oleh aktivis Palestin.
Ikon rock eksperimen Inggeris itu dijadual mengadakan persembahan di Tel Aviv pada 19 Julai, untuk menutup jelajah yang merangkumi dua festival perdana, Coachella dan Glastonbury.
Radiohead pernah membuat persembahan amal untuk hak rakyat Tibet dan Amnesty International selain kempen menentang perubahan iklim.
“Memandangkan Radiohead berkempen untuk kebebasan bagi rakyat Tibet, kami tertanya-tanya kenapa anda akan menolak permintaan untuk menyokong satu lagi bangsa di bawah penjajahan asing,” kata surat itu.
“Dengan meminta anda untuk tidak membuat persembahan di Israel, penduduk Palestin telah merayu kepada anda untuk mengambil satu langkah kecil untuk membantu menekan Israel agar menamatkan pencabulannya terhadap hak asasi dan undangundang antarabangsa.
“Sudah tentu jika membuat pendirian menentang politik perpecahan, diskriminasi dan kebencian ada makna sama sekali, ia bermakna menentangnya di manamana – dan ia perlu termasuk apa yang berlaku kepada penduduk Palestin setiap hari,” katanya.
Waters, bekas anggota kumpulan Pink Floyd dan kuasa kreatif bagi ‘The Wall’, sudah sekian lantang mengenai Israel.
Orang lain yang menandatangani surat itu termasuk dua penulis novel, Alice Walker dan Hari Kunzru, Thurston Moore dari kumpulan perintis rock alternatif dari AS, Sonic Youth, dan Nick Seymour dari kumpulan rock Australia, Crowded House.
Uskup bersara dan aktivis anti aparteid yang memenangi Anugerah Nobel, Desmond Tutu, turut menandatangani surat itu.
Kempen boikot kebudayaan terhadap Israel telah menikmati kejayaan yang bercampurcampur.
Stevie Wonder, Carlos Santana dan Lauryn Hill pernah membatalkan pertunjukan di Israel tetapi ramai nama besar termasuk Paul McCartney, Rolling Stones, Elton John dan Bon Jovi pernah membuat persembahan di sana sejak beberapa tahun lalu.
Radiohead tidak pernah mengadakan persembahan di Israel sejak tahun 2000.
Konsert itu merupakan sebahagian daripada jelajah Mediterranean yang kini legenda di mana Radiohead mempersembahkan buat pertama kalinya lagu-lagu dari ‘Kid A’, yang sering dipanggil adikarya band itu, yang ditukar dalam talian sebelum album itu dikeluarkan.
— AFP