Anda di sini

Rundingan FTA M’sia-EU akan bincang resolusi EU ke atas minyak sawit

Advertisement

KUALA LUMPUR: Rundingan perjanjian perdagangan bebas  (FTA) antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) turut meliputi resolusi baru-baru ini oleh Parlimen EU untuk menghentikan penggunaan beberapa jenis minyak sayuran, termasuk minyak sawit menjelang 2020.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong berkata walaupun resolusi itu tidak mengikat negara anggota EU, kerajaan memandang serius perkembangan ini  memandangkan ia melibatkan eksport komoditi utama serta kebajikan 500,000 pekebun kecil.

Susulan pemulihan rundingan FTA, kami akan mengemukakannya untuk perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Perdagangan dan Pelaburan EU-Malaysia 2017 di sini semalam.

Beliau berkata resolusi itu bagaimanapun tidak menyekat eksport minyak sawit ke EU.

Ia lebih kepada kebimbangan sama ada tarif tambahan akan diperkenalkan,” katanya.

Chua berkata kerajaan akan mengkaji kaedah untuk menyelesaikan isu ini bagi memastikan resolusi (EU) ini tidak menjejaskan dagangan kedua-dua pihak.

Duta Besar dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia Maria Castillo Fernandez berkata beliau tidak menjangkakan resolusi itu boleh menjejaskan hubungan dua hala EU dan Malaysia.

Tiada perubahan dalam perdagangan dan pelaburan EU di Malaysia. Kami akan terus menjadi rakan dagang ketiga terbesar dengan Malaysia,” katanya.

Jumlah dagangan Malaysia-EU pada  2016 meningkat 0.4 peratus kepada  RM149.1 bilion tahun ke tahun, manakala pada  Januari 2017, angka itu meningkat 9.7 peratus kepada RM12.9 bilion berbanding bulan yang sama tahun lepas.

Sementara itu, forum sehari anjuran  Dewan Perniagaan dan Industri EU-Malaysia (EUMCCI) bertemakan ‘Inovasi dan Produktiviti Bagi Memacu Ekonomi  Malaysia’ itu bermatkamat meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan sektor perkhidmatan, selain daya saing dengan menggalakkan penggiat industri menerima pakai dan melaksanakan inovasi selain menyebarkan teknologi baharu.

Sempena forum itu, Chua turut melancarkan penerbitan  ‘EUMCCI Trade Issues and Recommendations 2017’.

Ia mengandungi usaha yang dilakukan oleh ahli jawatankuasa EUMCCI dari sembilan sektor berbeza dalam mengetengahkan isu mendesak serta cadangan kepada pihak berkuasa Malaysia. — Bernama

Advertisement