Anda di sini

Pemimpin ASEAN iktiraf peranan perkhidmatan awam

Advertisement

MANILA: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30 akan menyaksikan lapan dokumen keputusan, termasuk deklarasi pemimpin ASEAN mengenai peranan perkhidmatan awam sebagai pemangkin bagi mencapai Wawasan Komuniti ASEAN 2025.

Deklarasi itu akan mengiktiraf kepentingan perkhidmatan awam sebagai tulang belakang tadbir urus yang baik di negara anggota ASEAN.

Ia juga menyokong intergrasi komuniti ASEAN di samping mengukuhkan program pembinaan kapasiti serta berkongsi amalan terbaik,” kata  Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ramlan Ibrahim pada sidang akhbar di sini, kelmarin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak berkenaan. Beliau ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Antara delegasi itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Selain itu, kata Ramlan, akan terdapat dokumen dua keputusan setiap satu daripada Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) Ke-10 serta Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina Ke-12.

Najib akan mempengerusikan Sidang Kemuncak IMT-GT Ke-10 tersebut.

Tahun ini merupakan Jubli Emas ASEAN kerana kumpulan serantau itu akan menyambut ulang tahun ke-50. Sejak ditubuhkan pada 1967, ASEAN telah mencatat pelbagai kejayaan penting, antaranya penubuhan Komuniti ASEAN 2015.

Ia telah menawarkan pelbagai peluang untuk rakyat ASEAN serta komuniti global untuk terus menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ASEAN,” katanya.

Oleh itu, katanya, ASEAN dan semua mesyuarat berkaitan, akan turut melibatkan Malaysia dalam usaha  memberi tumpuan yang lebih kepada proses pembinaan komuniti.

Ia bagi memastikan proses pembinaan komuniti ASEAN yang kita telah komited akan mencapai kejayaan. Ketika ini ia sudah 70 peratus selesai. Kita bekerjasama rapat dengan semua negara anggota agar dapat mencapai sasaran itu,” katanya.

Sementara itu, Ramlan tidak menolak kemungkinan pemimpin ASEAN akan membincangkan pelbagai isu seperti Laut China Selatan serta keselamatan serantau. — Bernama

Advertisement