Anda di sini

Maxis catat untung lebih tinggi bagi suku pertama 2017

Advertisement

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis) mencatat prestasi kewangan lebih kukuh bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2017 apabila keuntungan selepas cukainya meningkat 5.4 peratus kepada RM510 juta berbanding RM484 juta bagi tempoh sama setahun lepas, biarpun berdepan cabaran persaingan harga.

Ini didorong oleh hasil perkhidmatan syarikat telekomunikasi itu sebanyak RM2.129 bilion berbanding RM2.122 bilion pada suku pertama 2016 yang dipacu oleh perolehan purata hasil setiap pengguna (ARPU), katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pula mencatat RM1.118 bilion berbanding RM1.156 bilion pada tahun lepas berikutan pelaksanaan langkah pelaburan untuk meningkatkan kecekapan masa depan selain pelarasan sekali gus.

Maxis turut mengumumkan dividen interim pertama sebanyak lima sen sesaham.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Morten Lundal menyifatkan suku berkenaan sebagai baik untuk Maxis kerana berasaskan momentum yang positif.

Jumlah data terus meningkat dan kami (berusaha) memastikannya seiring permintaan terhadap pengalaman rangkaian yang berprestasi tinggi. Ini penting kerana Maxis akan melaksanakan langkah bagi mempertingkatkan pengalaman digital yang terbaik untuk para pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, pendapatan bagi khidmat pascabayar syarikat itu mencatat RM989 juta berbanding RM997 juta setahun lepas, didorong oleh asas pelanggan kukuh hampir seramai 1.8 juta MaxisONE dengan ARPU bulanan sebanyak RM121.

Selain itu, langganan baharu MaxisONE turut mencecah 826,000 sepanjang tempoh suku berkenaan.

Pendapatan prabayar pula mencatat RM1.005 bilion daripada RM1.008 bilion bagi suku pertama tahun lepas dengan tarikan berterusan bagi ARPU Internet mudah alih.

Bagi suku berkenaan juga,  Maxis telah melabur sejumlah RM162 juta daripada keseluruhan pelaburan RM1.2 bilion yang disasarkan untuk 2017.

Maxis berkata ia telah meningkatkan usaha untuk memenuhi permintaan pelanggan menerusi langkah pelaksanaan rangkaian 4G Evolusi Jangka Panjang (LTE)  dalam kalangan mereka, iaitu membabitkan 5.2 juta peranti berbanding 3.2 juta, setahun lepas.

Purata penggunaan 4G LTE kini adalah 6.5GB sebulan iaitu meningkat daripada purata 2.6GB sebulan setahun lepas dan Maxis terus menerajui segmen rangkaian terbaik merangkumi liputan populasi sebanyak 88 peratus.

Maxis juga merupakan penyedia jalur lebar tanpa wayar terpantas negara ini sebagaimana dinyatakan dalam hasil keputusan terbaharu penilaian Kualiti Perkhidmatan jalur lebar berwayar dan tanpa wayar Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi 2016. — Bernama

Advertisement