Anda di sini

Malaysia sedia jadi tuan rumah Sidang Kemuncak Global WTTC

Advertisement

Negara memiliki produk menarik untuk dipromosi kepada negara luar

BANGKOK: Malaysia bersedia menjadi negara ASEAN kedua sebagai tuan rumah Majlis Pengembaraan dan Pelancongan Dunia (WTTC) Sidang Kemuncak Global akan datang dalam usaha untuk melonjakkan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Malaysia mempunyai elemen tersendiri dalam menganjurkan sesuatu acara serta mempunyai produk yang menarik untuk dipromosikan kepada negara luar.

Melihat kepada hasil penganjuran kali ini di sini (Bangkok, Thailand), sudah pastinya kita mengalu-alukan penganjuran seumpama ini jika diberi peluang.

Kita sememangnya sudah bersedia untuk menganjurkan sidang bertaraf antarabangsa, malah saya yakin menteri akan melobi untuk  mendapatkan hak penganjuran tersebut,” katanya kepada pemberita  pada Sidang Kemuncak Global WTTC di sini, semalam.

Thailand menjadi negara ASEAN pertama menjadi tuan rumah sidang kemuncak dua hari yang dirasmikan Perdana Menterinya, Jeneral Prayut Chan-o-cha semalam.

Sektor pelancongan negara tersebut mencatat pertumbuhan 11 peratus kepada  2.52 trilion baht atau kira-kira  AS$72 bilion, menjadikannya eksport terbesar pada 2016.

Katanya, kejayaan Thailand menarik 32.58 juta pelancong tahun lalu merupakan satu pencapaian yang sangat baik.

Malaysia perlu melihat bagaimana negara ini berjaya dan mencontohi mereka,” tambahnya.

Mas Ermieyati berkata, tahun ini negara ASEAN menganggarkan ketibaan 126.4 juta pelancong manakala 32.2 juta pelancong akan mengunjungi Malaysia.

Sementara itu, beliau juga menasihatkan agar peserta industri pelancongan memainkan peranan mempromosikan produk yang mempunyai nilai tambah seperti kapal layar.

Semalam, saya menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Thailand, Malaysia dan Indonesia bagi mempromosi produk pelancongan baharu, Sail Sabang.

Ini adalah permulaan yang baik untuk industri tersebut walaupun ia adalah pasaran khusus, tetapi sangat berpotensi,” katanya.

Sail Sabang adalah perkhidmatan kapal layar yang menghubungkan tiga pulau, iaitu  Phuket, Langkawi dan Sabang di Acheh.

Sidang kemuncak itu bertujuan mempertemukan pemimpin global sektor swasta dan awam industri tersebut bagi meneroka tema ‘Mentransformasikan Dunia Kita’ dengan fokus ke atas kelestarian.

Antara penceramah utama ialah bekas Perdana Menteri Britain, David Cameron, Setiausaha Agung Pertubuhan Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Taleb Rifai, Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Kobkarn Wattanavrangkul serta Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes. — Bernama

Advertisement