Anda di sini

Projek tebatan banjir bermula tahun ini, kata Khere Chiang

Advertisement

MPP terima peruntukan hampir RM30 juta daripada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek ini
 

KUCHING: Masalah banjir yang membelenggu penduduk di sekitar Batu Kawa dan Batu Kitang akan diatasi dengan pembinaan projek tebatan banjir bermula tahun ini.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang berkata ia hasil daripada peruntukan hampir RM30 juta yang diterima MPP daripada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek tersebut.

Kami sekarang dalam proses mengenal pasti kawasan untuk melaksanakan projek ini.

Mungkin enam atau tujuh projek akan dilaksanakan dengan menumpukan kawasan yang terjejas teruk iaitu di Batu Kawa dan Batu Kitang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MPP di sini, semalam.

Justeru, Lo yang juga ADUN Batu Kitang menyampaikan penghargaan kepada Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian kerana meluluskan peruntukan kepada MPP untuk melaksanakan projek tebatan banjir itu.

Jelas beliau, ia kerana masalah banjir telah menjadi kebimbangannya dan merupakan antara keutamaan yang mahu diselesaikannya.

Saya sangat gembira, selama ini saya asyik bercakap tentang mengatasi banjir dan akhirnya mendapat sokongan daripada kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Lo berkata MPP juga akan terus menjalankan Program 1AZAM untuk membantu meningkatkan taraf hidup golongan miskin di kawasan seliaannya walaupun ia adalah bukan di bawah bidang tugas mereka.

Menurut beliau, terdapat tiga inisiatif yang telah dijalankan MPP sejak memulakan tanggungjawab sosial korporat mereka itu pada lima tahun lepas iaitu AZAM Niaga Kios (gerai burger), AZAM Niaga Kedai Runcit dan AZAM Niaga Potong Rumput.

Katanya pada tahun lepas, MPP telah membantu dua Ketua Isi Rumah (KIR) menerusi program Kios, enam KIR bagi Kedai Runcit dan tiga KIR untuk Potong Rumput menggunakan peruntukan sebanyak RM73,000 yang disalurkan Kemeterian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti.

Tahun lepas, kami telah membantu 11 KIR dan ini adalah menepati KPI ditetapkan iaitu 11 KIR setahun,” katanya.

Baru-baru ini, MPP telah menerima surat penghargaan daripada Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah atas prestasi cemerlang dalam penyampaian Program 1AZAM 2015.

  • oleh
  • Advertisement