Anda di sini

Kes bunuh: Buruh ladang warga Indonesia dihadap ke mahkamah

Advertisement

MIRI: Seorang buruh ladang warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam atas tuduhan membunuh seorang penolong pengurus projek dan mencederakan dua rakan senegaranya.

Kasim Katanni, 26, dari Tondong, Sulawesi, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan tentatif, tertuduh melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian seorang penolong pengurus projek, Yusuf Sidani Sampe, 45.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 8 malam, pada 15 April lalu di Kedai Kampung Kayu Kapur, Bekenu.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi dua lagi pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.

Menurut pertuduhan kes, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kece-deraan masing-masing  ke atas Markurius Robin dan Peri dengan bersenjatakan sebilah pisau menikam dua mangsa terbabit.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh jam 8 malam, pada 15 April lalu di Kedai Kampung Kayu Kapur, Bekenu.

Terdahulu, ketiga-tiga tuduhan itu dibacakan secara berasingan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat mangsa disiapkan.

Pendaftar Mohd Hafizi Abdul Halim membenarkan permohonan itu dan menetapkan 23 Mei depan untuk sebutan lanjut kes.

Manakala tertuduh yang diwakili peguam bela Ranbil Singh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement