Anda di sini

Kerajaan negeri komited bangun bahagian Kapit

Advertisement

Abang Johari umum peruntukan sebanyak RM73.9 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek 
 

 Abang Johari (lapan kanan) bersama barisan kenamaan sebaik menerima cenderamata berupa ‘Gagong’ pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kapit, malam kelmarin.
CENDERAMATA: Abang Johari (lapan kanan) bersama barisan kenamaan sebaik menerima cenderamata berupa ‘Gagong’ pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kapit, malam kelmarin.

KAPIT: Kerajaan negeri komited membangunkan bahagian ini dengan penyaluran dana peruntukan sebanyak RM73.9 juta.

Ini diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah Kapit malam kelmarin.

Projek-projek pembangunan diluluskan ialah Jalan Nanga Menuan sepanjang 10 kilometer dengan kos RM12 juta, Jalan Nanga Ibau sepanjang 10 kilometer (RM12 juta), pembinaan Pejabat Daerah Kecil Merit (RM5 juta), SJKC Ming Tak (RM2 juta), SJKC Hock Lam (RM500,000), SJKC Hock Hua, Song (RM100,000) dan Gereja Methodist Iban baharu (RM5 juta).

Turut mendapat peruntukan tanah perkuburan baharu Kwang Tung, Foochow dan SDNU, Kapit (RM2 juta), projek pembangunan semula Kolam Lily (RM12 juta), bandar Kapit (RM3 juta), Tebingan Song (RM3 juta), Tebingan Belaga (RM14 juta) dan jalan masuk Hospital Kapit (RM3.3 juta).

Kita mahu semua projek tersebut mesti bermula dalam masa tiga tahun. Ini adalah satu pelaburan kerajaan negeri bagi mengubah landskap Kapit dan kawasan sekitarnya merangkumi Song dan Belaga.

Dengan kos keseluruhannya sejumlah RM73.9 juta, ia berupaya membawa Kapit ke landasan pembangunan berterusan dan rancak lebih-lebih lagi dihubungkan dengan akses jalan raya,” katanya.

Hadir sama isterinya Datin Amar Datuk Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan isteri, Datin Amar Doreen Mayang, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan isteri Datin Angelina Ujang, Menteri Kemudahan Awam Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Pengangkutan Sungai dan Keselamatan Liwan Lagang, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ismawi Ismuni dan Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Beliau berkata, Kapit juga mempunyai potensi dalam biodiversiti dan bioteknologi mengeluarkan ubat-ubatan menerusi alam semula jadinya selain sektor pelancongan dan pertanian.

Katanya, jika aspek itu dibangunkan ia boleh menjadikan Kapit terkenal di mata dunia serta menjadi tumpuan saintis bertaraf dunia.

Para saintis boleh datang ke Kapit membuat kajian terhadap kayu serta alam semula jadi yang lain yang berpotensi untuk pengeluar biodiversiti dan bioteknologi.

Sudah pasti ia satu produk baharu buat Kapit dan pasarannya milik penduduk di sini.

Impaknya juga besar dan sudah pasti memberi kesan kepada peningkatan ekonomi penduduk,” jelasnya. 

Mengenai pendidikan, Abang Johari mahu SEB mewujudkan sebuah pusat latihan teknikal di sini untuk melahirkan ramai tenaga kerja yang dapat bekerja dalam pelbagai bidang dalam usaha menuju pembangunan pesat di Kapit pada masa akan datang.

Kita sedar Kapit sekarang sedang menuju ke arah sebuah bahagian yang bakal membangun pesat.

Justeru, kewujudan sebuah pusat latihan teknikal akan membolehkan Kapit menjadi pengeluar tenaga mahir dengan wujudnya Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) yang sangat relevan.

URDA memainkan peranan penting dalam pembangunan di Kapit seperti kawasan-kawasan wilayah tengah (SCORE) yang semakin pesat membangun ketika ini,” katanya.

Terdahulu, Ugak, Nanta dan Masing turut berucap masing-masingnya memohon kepada Abang Johari menyalurkan pembangunan di Kapit.

Sesungguhnya, lawatan kerja Abang Johari pertama ke Kapit adalah tidak menghampakan dan beliau membawa buah tangan yang penuh bermakna kepada penduduk di sini.

  • oleh
  • Advertisement