Anda di sini

Keperluan kerusi khas bayi dalam kereta diambil ringan

Advertisement

Pelaksanaannya akan diwajibkan pada 2019 kelak: JKJR
 

ALOR SETAR: Tahap kesedaran terhadap penggunaan kerusi keselamatan bayi atau kanak-kanak dalam kenderaan di Kedah masih rendah meskipun pelaksanaannya akan diwajibkan pada 2019 kelak.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah Chan Pei Hong berkata, kajian daripada pihaknya mendapati, masih ramai terutama ibu bapa mengambil ringan mengenai penggunaan kerusi keselamatan tersebut.

Mungkin ramai yang beranggapan, apabila tinggal di daerah kecil atau kampung risiko kemalangan adalah rendah berbanding di bandar atau kawasan yang sesak jadi kerusi khas kanak-kanak itu tidak perlu digunakan.

Namun ia adalah sebaliknya apabila rekod di kawasan yang dikatakan kurang sibuk atau luar bandar menyaksikan sering terjadinya kemalangan membabitkan kanak-kanak malah ada bayi yang tercampak akibat impak kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Dialog Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Di Kalangan Penjawat Awam di Negeri Kedah di Dewan Auditorium Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Setar, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Seksyen Semakan Gubalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Abdul Razak Alias dan Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Kedah Datuk Zahari Ismail.

JKJR akan meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam memberi penerangan dan kesedaran mengenai kesalahan dan risiko yang akan dihadapi apabila memandu di bawah pengaruh dadah.

Ancaman di atas jalan raya sekarang bukan saja membabitkan memandu di bawah pengaruh alkohol tetapi dadah. Jadi, kami akan bekerjasama lebih erat dengan AADK dalam membasmi perkara ini,” kata Chan.

Sementara itu, Abdul Razak ketika dalam ucapannya berkata semua ketua jabatan bertanggungjawab dalam memastikan pemandu kenderaan jabatan tidak melanggar kesalahan lalu lintas dan dikenakan mata demerit.

Kesalahan yang dilakukan akan ditanggung sepenuhnya oleh pemandu kenderaan jabatan itu termasuk lesen digantung atau dibatalkan jika mata demeritnya mencapai 20 mata,” katanya. — Bernama

Advertisement