Anda di sini

Jawatankuasa tangani masalah dokumen pengenalan murid

Advertisement

S’wak pertama wujudkan jawatankuasa ini, pendekatan bersepadu JPN Negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri 
 

KUCHING: Sarawak tampil sebagai negeri pertama mewujudkan jawatankuasa khas untuk menangani permasalahan dokumen pengenalan diri murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah berkata, pendekatan bersepadu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dijalinkan susulan surat cadangan JPN ibu pejabat dan Kementerian Pendidikan Malaysia dikeluarkan 17 Januari lalu.

Jelasnya, bagaimapun usaha strategik itu telah dirangka oleh kedua-dua pihak lebih awal iaitu sejak Ogos tahun lalu.

Berdasarkan maklumat daripada Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), didapati seramai 1,297 murid di negeri ini pada tahun lepas berhadapan dengan masalah tidak ada dokumen pengenalan diri atau masalah status warganegara.

Dengan penubuhan jawatankuasa antara JPN Negeri dan Jabatan Pendidkan Sarawak, kita berharap masalah berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh dua tahun,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti Dr Abdul Rahman Ismail dan Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hashidah Sayeed Aman Ghazali.

Fatimah berkata, berdasarkan semakan yang dijalankan, daripada jumlah 1,297 orang tersebut, didapati seramai 687 murid sebenarnya warganegara manakala 79 orang bukan warganegara, sementara 96 orang lagi status belum ditentukan dan 435 orang tidak ada maklumat.

Menurutnya, dengan penubuhan rasmi jawatankuasa khas yang akan menjalinkan kerjasama strategik itu, JPN dalam tempoh dua bulan lagi akan menyampaikan taklimat ke seluruh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini serta bagi menyelesaikan masalah itu di peringkat akar umbi.

Menerusi perjumpaan itu, pihak pentadbir sekolah seperti pengetua dan guru besar, mereka boleh mengambil langkah proaktif dengan mengemukakan butiran murid di sekolah masing-masing yang mempunyai masalah berkaitan dokumen pengenalan diri untuk tindakan lanjut dan segera.

Kerajaan juga telah meluluskan peruntukan RM1.5 juta untuk membolehkan JPN bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi menangani masalah itu di peringkat akar umbi,” katanya sambil menambah, pasukan tersebut akan turut membawa Mahkamah Bergerak bagi memudahkan proses angkat sumpah dijalankan.

Katanya, antara punca masalah yang dikenal pasti adalah apabila seorang kanak-kanak lambat didaftarkan dengan JPN selepas lahir atau dilahirkan ibu yang bukan warganegara asing tetapi belum berkahwin ketika bersalin.

Beliau turut melahirkan harapan agar masalah itu dapat diselesaikan dalam kadar segera bagi membolehkan murid yang terjejas dapat menikmati pelbagai bantuan disediakan kerajaan seperti Bantuan Buku Teks, Rancangan Makanan Tambahan, Bantuan Awal Persekolahan dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dan sebagainya.

Fatimah juga tidak menolak kemungkinan masih ada murid tidak berada dalam data APDM yang dibelenggu masalah sama dan kebarangkalian isu tersebut terus timbul pada masa depan.

Selepas ini, pihak sekolah boleh mengatasi isu ini setelah mengenal pasti mereka menerusi APDM dan mengambil tindakan dengan kerjasama JPN,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement