Anda di sini

Individu dikehendaki berhubung kes bunuh digesa menyerah diri

Advertisement

KUCHING: Seramai 14 individu yang dikehendaki berhubung kes pembunuhan seorang ahli perniagaan di Sibu digesa menyerah diri dengan segera.

Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Mazlan Mansor berkata 14 suspek itu adalah daripada senarai 17 orang yang polis percaya dapat membantu dalam siasatan mereka ke atas pembunuhan pada Khamis lepas.

Kami sudah mengenal pasti 17 suspek dan sudah menangkap tiga daripada mereka di mana 14 lagi masih dikehendaki untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis negeri di sini semalam.

Beliau menggesa mereka yang masih bebas agar tidak membuang masa dan menyerah diri kepada polis untuk disoal siasat berhubung insiden itu dan kegagalan untuk berbuat demikian akan menyaksikan mereka diburu.

Lebih cepat mereka menyerah diri, lebih baik. Kami akan memburu mereka dan mereka tidak ada tempat untuk bersembunyi.

Lambat-laun kami akan mendapat mereka, jadi lebih baik mereka menyerah diri sekarang,” tegasnya.

Sementara itu Mazlan turut memberitahu bahawa pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung laporan polis yang dibual oleh bekas raja pecut negara Watson Nyambek berhubung penghinaan terhadap nama mendiang bapanya.

Kami akan menghubunginya (pengacara) pada hari ini (semalam) berhubung laporan yang dibuat oleh Watson.

Memandangkan insiden itu berlaku di Semenanjung Malaysia, ia akan memakan masa sedikit, jadi biarkanlah kami menyiapkan siasatan kami terlebih dahulu,” katanya dan menambah kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Advertisement