Anda di sini

Elak jadi mangsa sindiket pengedaran dadah

Advertisement
 Mazlan (dua kiri) memeriksa kawalan kehormatan semasa perhimpunan tersebut semalam.
PERIKSA: Mazlan (dua kiri) memeriksa kawalan kehormatan semasa perhimpunan tersebut semalam.

Berwaspada dengan urusan jual beli atas talian melalui perkhidmatan kurier: Mazlan

KUCHING: Orang ramai dinasihati berwaspada dengan urusan jual beli atas talian untuk mengelak daripada menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah melalui perkhidmatan kurier.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata terdapat laporan di mana mangsa mendakwa menerima dadah berserta dengan barangan yang dibelinya melalui atas talian dan dihantar kepadanya menggunakan kurier baru-baru ini.

Justeru, menurutnya adalah penting untuk mengetahui lebih terperinci mengenai individu atau syarikat yang menjual barangan atas talian sebelum bersetuju untuk membuat pembelian.

Ada kes di mana pelanggan membeli secara atas talian dan apabila ia dihantar menggunakan kurier didapati barang yang dibeli tidak ada tetapi sebaliknya hanya ada barang-barang yang terlarang (dadah) ini.

Disebabkan itu, kita risau jika perkara ini tidak dibendung lebih awal, maka ia akan menjadi trend dan akan lebih ramai lagi sering membeli barangan secara atas talian menjadi mangsa.

Seelok-eloknya siasat dulu latar belakang individu atau syarikat yang menjual barang-barang (atas talian) untuk meneruskan urusan jual beli,” tegasnya dalam sidang media di sini semalam.

Sementara itu, beliau turut memohon kepada pihak yang berkenaan terutama institusi pengajian tinggi (IPT) agar meneliti latar belakang pelajar warga asing yang memohon melanjutkan pengajian di negeri ini.

Kita sarankan agar mereka (warga asing) ini diperiksa secara terperinci kerana kita tidak mahu tujuan mereka ke sini bukan untuk menyambung pelajaran tetapi sebaliknya untuk melakukan perkara yang melanggar undang-undang.

Tahun ini terdapat kes pengedaran dadah melibatkan warga asing yang menuntut di IPT swasta di negeri ini,” kata Mazlan yang juga tidak menafikan kebanyakan pelajar warga asing mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

Terdahulunya Mazlan yang menghadiri perhimpunan bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) turut menyampaikan sijil perhargaan kepada beberapa pegawai dan anggotanya yang cemerlang semasa menjalankan tugas.

Turut hadir Timbalannya Datuk Abdul Aziz dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar.

  • oleh
  • Advertisement