Anda di sini

Abang Johari meneruskan lawatan kerja ke Kapit

Advertisement
 Abang Johari bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan SK Sungai Kapit, semalam.
MESRA RAKYAT: Abang Johari bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan SK Sungai Kapit, semalam.

KAPIT: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg meneruskan lawatan kerja rasminya pada hari kedua di sini semalam.

Pada program pertamanya, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Jambatan SK Sungai Kapit pada sebelah paginya.

Pada majlis itu, beliau turut mendengar taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor terlibat sebelum menyempurnakan majlis itu.

Kos projek itu menelan perbelanjaan sejumlah RM12 juta yang diluluskan pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Jambatan sepanjang 42.672 meter itu mempunyai laluan dua hala menghubungkan SK Sungai Kapit dengan Jalan Bukit Goram.

Kemudian, Abang Johari meneruskan lawatan ke Fort Sylvia dan turut mendengar taklimat daripada Pengerusi Yayasan Tun Jugah Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Jugah.

Pada masa sama, isterinya Datin Amar Datuk Juma’ani Tuanku Bujang turut menyempurnakan majlis penyampaian bantuan persekolahan kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, Kapit.

Selepas itu, Abang Johari dan Juma’ani serta rombongan berangkat pulang ke Kuching pada sebelah tengah hari.

Pada malam kelmarin, Abang Johari turut menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah Kapit.

Terdahulu, pada sebelah petangnya beliau turut menghadiri Pameran Pembangunan Bahagian Kapit.

Turut sama Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi serta isteri Datin Angelina Ujang, Menteri Kemudahan Awam Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Pengangkutan Sungai dan Keselamatan Liwan Lagang, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Jefferson Jamit Unyat dan ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang. 

Ini adalah lawatan pertama Abang Johari ke bahagian Kapit setelah dilantik sebagai Ketua Menteri.

Advertisement