Anda di sini

Malaysia gesa Kanada percepat masa proses visa

Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia menggesa Kanada mengambil langkah memendekkan masa memproses visa untuk warga negara ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman semalam.

Anifah, yang menimbulkan perkara itu dengan Menteri Pertahanan Nasional Kanada,  Harjit Singh Sajjan dalam rundingan bilateral di sini, berkata permohonan visa, yang dikemukakan ke pejabat Visa Kanada di Singapura, mengambil masa purata antara 10 hingga 14 hari untuk diproses. 

“Kadang kala ahli perniagaan tidak dapat me-nunggu begitu lama. Saya me-nyarankan mereka  mencari jalan untuk memendekkan tempoh menunggu, walaupun kita faham undang-undang dan dasar Kanada,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan  Harjit Singh yang sedang melawat negara ini, di Wisma Putra di sini.

Kedua-dua menteri itu membincangkan kerjasama Malaysia-Kanada yang sedang berjalan.

Berkuat kuasa 30 April 2012, Bahagian Visa dan Imigresen di Kedutaan Kanada di  Malaysia (Kuala Lumpur)  ditutup kepada awam. 

Anifah berkata topik lain dibincangkan di mesyuarat itu termasuk kerjasama dalam menentang keganasan, pertukaran maklumat mengenai kejadian berkaitan kumpulan militan Daesh dan kepulangan anggota kumpulan itu ke negara masing-masing.

“Kita telah mengadakan rundingan yang cukup produktif. Kedua-dua  Malaysia dan Kanada amat gembira kerana tahun ini menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Kanada.  

“Hubungan ini terus mesra dengan kerjasama utama di bidang perdagangan, pelaburan, kerjasama pertahanan dan keselamatan,” kata beliau.

Tentang perdagangan, Anifah berkata Malaysia mempunyai pelaburan besar di  British Columbia, sementara pelaburan Kanada di Malaysia melebihi RM15 bilion.

Mengenai pendidikan, Anifah berkata, ia terus menjadi bahagian penting dalam hubungan antara kedua-dua negara, dan kini terdapat lebih 300 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di Kanada.

“Kami juga sentuh soal Semenanjung Korea, Laut China Selatan,  isu Timur Tengah berkaitan senjata kimia, dan isu Syria,” kata beliau.

Bagi pihak kerajaan Malaysia, Anifah mengundang Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan rakan sejawatannya, Chrystia Freeland melawat Malaysia.

Lawatan Harjit Singh ke Malaysia selama tiga hari itu bersempena dengan kunjungan dua kapal perang Tentera Laut Diraja Kanada, Ottawa dan Winnipeg, di Pelabuhan Klang. — Bernama

Advertisement