Anda di sini

APM tahan bot nelayan Vietnam tangkap gamat di perairan Kemaman

Advertisement

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur berjaya mematahkan cubaan menangkap gamat di perairan di sini susulan penahanan seorang tekong dan tujuh awak-awak warga Vietnam.

Pengarah Maritim Pangkalan Kemaman, Lt Kdr Maritim Mohd Marmizi Mohd Noor berkata  tangkapan  pada Ahad lalu itu  (melibatkan gamat)  adalah yang pertama kali dilakukan setelah pihaknya melakukan pemantauan berdasarkan aduan orang awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati di dalam bot berkenaan terdapat gamat hidup dianggarkan seberat 135 kilogram yang bernilai kira-kira RM10,000 dan peralatan menangkap gamat, manakala bot nelayan yang turut ditahan itu dianggarkan bernilai RM500,000,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd Marmizi berkata, bot nelayan tempatan yang bernombor pendaftaran KNF6969 itu ditahan kira-kira jam 1.40 petang, kira-kira 45 batu nautika dari Kuala Kemaman.

Katanya hasil pemeriksaan lanjut mendapati  awak-awak tersebut berusia antara 19 hingga 42 tahun dan tiga daripadanya tidak memiliki permit kerja yang sah.  

“Kebanyakannya bot nelayan tempatan yang mempunyai lesen menangkap ikan yang sah tetapi menggajikan nelayan warga asing tanpa mempunyai apa-apa dokumen yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Tambahnya tekong dan empat nelayan berkenaan kini ditahan reman selama 14 hari di bawah Seksen 47D Akta Perikanan manakala tiga lagi yang tidak mempunyai permit kerja yang sah turut disiasat di bawah Akta Imigresen Seksen 51 (5) (b). — Bernama

Advertisement