Anda di sini

Tingkatkan tanggungjawab moral

Advertisement

Komuniti kewangan digesa ambil pendekatan holistik, prihatin dan realistik

 Shaik Abdul Rasheed menyampaikan ucap tama beliau semasa Persidangan Etika Perniagaan AIF-FSBP 2017 di Sasana Kijang semalam . — Gambar Bernama
CABARAN ETIKA: Shaik Abdul Rasheed menyampaikan ucap tama beliau semasa Persidangan Etika Perniagaan AIF-FSBP 2017 di Sasana Kijang semalam . — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) semalam menggesa kalangan masyarakat kewangan untuk mempertingkatkan tanggungjawab moral yang diamanahkan kepada mereka apabila menjalankan perniagaan masing-masing.

 Ketika membuat gesaan itu, Penolong Gabenor BNM, Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour juga mengingatkan sektor kewangan untuk mengambil pendekatan holistik, prihatin dan realistik bagi membudayakan aspek profesionalisme dan etika.

 “Kita tidak boleh memperlekeh kuasa serta bahaya akibat tindakan segelintir kelompok yang bermasalah ini. Malah, bukti (yang ada) menuntut kita untuk memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan satu sistem yang menggalakkan amalan sikap beretika secara berterusan,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Persidangan Etika Perniagaan AIF-FSBP 2017 di sini, semalam.

 Shaik Abdul Rasheed berkata, biarpun kalangan pengawal selia berperanan penting menjelaskan aspek perundangan, namun sektor swasta juga tidak kurang pentingnya untuk menyumbang dari segi memastikan semangat moral itu turut dipraktikkan.

 Tegasnya, masyarakat kewangan juga tidak harus menidakkan realiti itu berikutan wujudnya kelompok bermasalah dalam industri kewangan.

 Sehubungan itu, katanya, mesej yang jelas perlu dihebahkan bagi mengelak kelompok itu mendapat tempat dalam industri itu.

 “Tindakan adil, seimbang dan telus merupakan perkara asas bagi memastikan mesej itu dapat disebarkan,” katanya.

 Beliau turut memetik ungkapan ahli falsafah Greek purba, Plato: “Insan yang baik tidak perlukan undang-undang untuk mengajar mereka bertindak secara bertanggungjawab sebaliknya orang yang jahat akan mencari jalan untuk memperalatkan undang-undang”.

 Shaik Abdul Rasheed turut berkongsi contoh dalam landskap kewangan Malaysia yang membuktikan industri kewangan juga tidak kebal daripada berdepan cabaran etika.

 Jelasnya, pada 1980-an dan 1990-an, berlaku kes bank-bank tempatan mengalami kerugian besar akibat tindak-tanduk dan keputusan oleh pihak pengurusan kanan tidak beretika yang memberi kelulusan pinjaman secara tidak berhemat.

 “Sejak dua tahun lepas (misalnya), denda melebihi RM100 juta telah dikenakan terhadap mereka yang menyalahi peraturan di bawah BNM dan Suruhanjaya Sekuriti.

 “Satu kajian oleh Universiti Malaya dan Institut Bank- Bank Bertauliah Asia pada 2014 juga mendedahkan sebanyak 43 peratus pekerja dalam sektor perbankan konvensional Malaysia mengetahui wujudnya perbuatan salah laku di tempat kerja,” katanya.

 Sehubungan itu, beliau menegaskan, cabaran etika untuk pemimpin korporat dan sektor awam adalah untuk mewujudkan satu budaya serba kondusif.

 “Kita perlu menumpukan tiga elemen ini - sistem, situasi dan rakyat,” katanya.

 Shaik Abdul Rasheed berkata, menyedari kepentingan itu, mulai 1 Jan, 2018 bank pusat berkenaan akan memperkenalkan kerangka ketelusan bagi tindakan penguatkuasaan BNM serta berperanan sebagai mekanisme untuk membendung sebarang salah laku. — Bernama  

Advertisement