Anda di sini

Ong Ka Chuan ke Jerman bagi misi tingkat perdagangan, pelaburan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan memulakan lawatan kerja selama lima hari ke Jerman semalam untuk menyertai ekspo perindustrian antarabangsa terkemuka, Hannover Messe 2017.

 Dalam satu kenyataan kelmarin, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata sejajar tumpuan Malaysia terhadap aspek Industri 4.0 atau Revolusi Perindustrian Keempat, lawatan Ong dianggap tepat pada masanya untuk mendapatkan maklumat mengenai industri berasaskan inovasi, teknologi dan memiliki nilai tambah tinggi dalam usaha untuk terus kekal berdaya saing di peringkat global.

 Ong dijadual menyampaikan ucap tama bertajuk ‘ASEAN In 2017: Taking New Opportunities Through Trade Policy’ (ASEAN Pada 2017: Merebut Peluang Baharu Menerusi Dasar Perdagangan) di Forum ASEAN Hannover Messe yang disasarkan kepada audiens antarabangsa yang berminat untuk terbabit dalam eksport dan pelaburan ke dan dalam rantau itu.

 Beliau juga akan menemui beberapa pemimpin syarikat terkemuka Jerman bagi membincangkan peluang pelaburan di Malaysia.

 Jerman merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dari Kesatuan Eropah (EU) pada 2016 dan berada di tempat ke-11 di peringkat global.

 Malah, perdagangan dengan Jerman turut meningkat sebanyak 7.1 peratus dalam nilai ringgit kepada RM46.08 bilion (10.04 bilion euro) pada tahun lepas.

 Eksport Malaysia ke Jerman berkembang sebanyak 13.5 peratus kepada RM22.30 bilion (4.86 bilion euro) pada 2016 manakala import meningkat sebanyak 1.8 peratus kepada RM23.78 bilion (5.18 bilion euro) berbanding 2015.

 Tiga eksport utama ke Jerman pada 2016 ialah produk elektrikal dan elektronik (RM14.37 bilion dan sebanyak 64.4 peratus), peralatan optikal dan saintifik (RM1.78 bilion, lapan peratus) dan produk getah (RM14.78 bilion, lapan peratus).

 Selain itu, tiga produk import pula merangkumi elektrikal dan elektronik (RM6.18 bilion, 26 peratus), jentera, peralatan dan komponen (RM5.48 bilion, 23 peratus) serta peralatan pengangkutan (RM4.10 bilion, 17.2 peratus).

 Jerman juga merupakan pelabur terbesar Malaysia dari kalangan negara anggota EU.

 Setakat ini Malaysia telah meluluskan pelaburan bernilai AS$11.9 bilion dari Jerman yang membabitkan 568 projek- projek pembuatan dan mewujudkan lebih 66,646 peluang pekerjaan.

 Syarikat-syarikat Jerman juga bertapak kukuh dalam sektor seperti elektrikal dan elektronik, produk petroleum termasuk petrokimia, bahan kimia serta peralatan saintifik dan kelengkapan bagi tujuan pengukuran. — Bernama  

Advertisement