Anda di sini

Nur Firdaus perlukan dana

Advertisement

Mewakili negara pada ‘World Cup Grand Prix Beroun’ di Czech Republic Jun depan

 Bercita-cita mewakili Malaysia ke Olimpik 2020, Nur Firdaus mewakili Malaysia terlebih dahulu pada ‘World Cup Grand Prix Beroun’ di Czech Republic, Jun depan. Gambar sisipan Nur Firdaus memenangi tempat pertama beberapa kejohanan sukan ekstrem peringkat negeri dan kebangsaan.
KE OLIMPIK 2020: Bercita-cita mewakili Malaysia ke Olimpik 2020, Nur Firdaus mewakili Malaysia terlebih dahulu pada ‘World Cup Grand Prix Beroun’ di Czech Republic, Jun depan. Gambar sisipan Nur Firdaus memenangi tempat pertama beberapa kejohanan sukan ekstrem peringkat negeri dan kebangsaan.

KUCHING: Anak kelahiran Miri, Mohd Nur Firdaus Marzuki, 22, mewakili Malaysia pada sukan papan selaju (skateboard) ‘World Cup Grand Prix Beroun’ di Czech Republic, Jun depan.

 Bagaimanapun, buat masa ini beliau masih kekurangan dana bagi membiayai kos perbelanjaan menyertai kejohanan itu nanti.

 “Kejohanan itu dijadualkan berlangsung beberapa hari dan saya akan pergi ke sana (Czech Republic) pada 22 Jun depan dan balik semula ke tanah air pada 25 Jun depan.

 “Saya memohon sumbangan dana dan tajaan daripada orang ramai yang prihatin untuk perbelanjaan dan pembiayaan kos sepanjang saya berada di sana nanti.

 “Untuk itu, saya amat berterima kasih dan akan melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia pada kejohanan itu nanti,” katanya ditemui di sini semalam.

 Menurut Nur Firdaus, beliau akan ke Czech Republic untuk kejohanan itu bersama dengan pengurusnya, Kelana Akira Abdullah serta dua ahli keluarganya.

 Katanya, sukan ekstrem bukan sesuatu yang baharu namun atas alasan ia jarang diketengahkan, sukan papan selaju itu masih kurang mendapat perhatian dari aspek tajaan.

 Nur Firdaus berjaya menggungguli kejohanan papan selaju, ‘Laksa Jam 2017’ mewakili Sarawak di Kuala Lumpur sebelum melayakkannya mewakili negara pada kejohanan sama di peringkat lebih tinggi.

 Selain itu, beliau juga memenangi tempat pertama beberapa kejohanan sukan papan selaju seperti ‘Redbull Powergrind 2009’, Kejohanan Sukan Extreme Negeri Sabah 2015, Kejohanan Skate Kuching, Kejohanan Skate Miri, ‘Vans Go Skateboarding Day 2016’, ‘Chillax Skateboard Competition 2016’, ‘KXK Putrajaya Skate Tournament’, ‘Skate Fest Penang 2016’, ‘Perak XGame 2016’ dan terbaharu ialah ‘Laksa Jam 2017’.

 Menyentuh aspek prasarana dan kemudahan, Nur Firdaus mengakui masih banyak perlu diperbaiki dan dipertingkatkan dalam usaha mencapai standard dunia terutama di Kuching dan Bintulu.

 “Saya bersama pengurus saya (Kelana) memperjuang kemudahan sukan ekstrem di Sarawak kerana kami percaya bakat anak-anak jati negeri ini dalam sukan lasak mampu diketengahkan di mata dunia terutamanya Sukan Olimpik 2020.

 “Malah, ketika ini kami turut dibantu Kelab CISKA dan Rupert Rage juga merancang membina ‘indoor skatepark’ di Demak Laut dan Bintulu,” jelasnya.

 Justeru, beliau melahirkan harapan agar ada pihak tampil menaja penggemar-penggemar sukan ekstrem termasuk sukan papan selaju dalam usaha membantu anak-anak jati Sarawak mewakili Malaysia ke Olimpik 2020 nanti.

 Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni pernah menghulur sumbangan bagi penganjuran pertandingan papan selaju di Sarawak selain menaja perjalanan wakil sukan papan selaju negeri termasuk Nur Firdaus pada kejohanan di Kuala Lumpur.

 Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi Nur Firdaus di talian 010- 9746173.

  • oleh
  • Advertisement