Anda di sini

Mattis tinjau situasi di Afghanistan

Advertisement

Menteri pertahanan, ketua tentera letak jawatan pascaserangan Taliban

 Ghani bertanya khabar seorang mangsa yang cedera dalam serangan Taliban semasa melawat Mazar-i-Sharif Sabtu lalu. — Gambar Reuters
TURUN PADANG: Ghani bertanya khabar seorang mangsa yang cedera dalam serangan Taliban semasa melawat Mazar-i-Sharif Sabtu lalu. — Gambar Reuters

KABUL: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Jim Mattis tiba di Afghanistan untuk lawatan mengejut semalam, menurut seorang pegawai pertahanan AS, beberapa jam selepas rakan sejawatannya meletak jawatan susulan serangan berdarah Taliban.

Mattis yang membuat lawatan pertama ke Afghanistan sebagai ketua Pentagon, bertemu para pegawai kanan termasuk Presiden

Ashraf Ghani tidak sampai dua minggu selepas AS menggugurkan bom terbesar bukan nuklear ke atas sarang persembunyian kumpulan Islamic State (IS) di timur negara tersebut.

Ketibaannya turut menyaksikan pasukan keselamatan tempatan kucar-kacir ekoran peletakan jawatan menteri pertahanan Abdullah Habibi dan ketua tentera Qadam Shah Shaheem.

Peletakan jawatan tersebut yang diumumkan dalam kenyataan satu barisan dari istana presiden dibuat susulan kemarahan berhubung serangan Taliban ke atas pangkalan tentera luar bandar utara Mazar-i-Sharif pada Jumaat lalu.

Sepuluh lelaki bersenjata berseragam tentera dan ves bom memasuki pangkalan dalam beberapa trak tentera dan melepaskan tembakan ke arah anggota tidak bersenjata dari jarak dekat di masjid dan mes makan.

Pegawai tempatan setakat ini enggan memperincikan butiran kematian dan kecederaan, tetapi pihak AS menyatakan sekurang-kurangnya 50 askar maut manakala beberapa pegawai tempatan menyatakan angka kematian sahaja mencecah 130.

Mattis yang pernah berkhidmat di Afghanistan, melawat untuk merumuskan penilaian bagi Presiden Donald Trump mengenai konflik kejam berterusan di Afghanistan.

Perang Afghanistan adalah perang paling lama dalam sejarah AS tetapi Trump jarang sekali menyebut mengenainya melainkan untuk memuji kejayaan serangan bom tersebut baik tatkala berkempen mahupun sejak memegang jawatan.

Mattis berkata pada Februari ketua komandernya itu wajar berbuat demikian kerana masih menunggu rumusan para jeneral.

Beliau merupakan pegawai kanan keselamatan kedua AS melawat Afghanistan bulan ini selepas Penasihat Keselamatan Negara Jeneral H.R. McMaster tiba di Kabul beberapa hari selepas bom tersebut digugurkan.

AS mempunyai 8,400 anggota di negara itu dengan kira-kira 5,000 lagi anggota sekutu NATO membantu pasukan tentera Afghanistan yang lebih beasr dalam perang menentang Taliban dan militan lain.

Menurut badan pemantau AS SIGAR, angka kematian kalangan pasukan keselamatan Afghanistan melambung sebanyak 35 peratus pada 2016, dengan 6,800 askar dan polis terbunuh.

Lebih satu pertiga Afghanistan berada di luar kawalan kerajaan dan banyak wilayahnya dipegang pelbagai kumpulan pemberontak tatkala usaha berterusan Kabul untuk mengadakan rundingan damai dengan Taliban gagal. — AFP

Advertisement