Anda di sini

Kuching FA dijinakkan Terengganu City FC 2-0

Advertisement
 Penyerang Kuching FA, Sufizal Ismail (hijau) mengasak pertahanan Terengganu City FC, Muhd Zulhairi Ismail pada perlawanan Piala FAM kelmarin.
KAWAL: Penyerang Kuching FA, Sufizal Ismail (hijau) mengasak pertahanan Terengganu City FC, Muhd Zulhairi Ismail pada perlawanan Piala FAM kelmarin.

KUCHING: Skuad Kuching FA gagal meneruskan momentum kemenangan dalam kempen Piala FA apabila tewas 2-0 kepada Terengganu City FC pada perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin.

 Gawang Kuching FA sering diuji rangkaian penyerang tuan rumah pada babak pertama namun berjaya dipatahkan oleh kekentalan barisan pertahanan pelawat.

 Usaha Terengganu City FC akhinya berhasil selepas Muhd Nurhalis Syafiq Nizu berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-62 selepas menerima umpanan cantik daripada rakan.

 Gol itu menyentap semangat Kuching FA dan sering melakukan serangan ke gawang tuan rumah namun dikecewakan oleh penyudah tumpul.

 Sebaliknya, Terengganu City FC menambah gol kedua pada minit ke-91 hasil jaringan Ros Mohd Muharam Wahab sekali gus memadam sisa perjuangan Kuching FA.

 “Memang kecewa dengan kekalahan malam kelmarin, dua gol tuan rumah berpunca daripada kesilapan pertahanan kita sendiri.

 “Corak permainan kita kurang memuaskan pada babak pertama namun pemainpemain berjaya mengimbangi lawan pada babak kedua,” kata Penolong Jurulatih, Shahrizan Sahari mengulas persembahan anak-anak buahnya semalam.

 Menurut Shahrizan, penyudah yang tumpul menjadi penghalang mereka untuk menjaringkan gol walaupun memiliki sekurang-kurangnya lima hingga enam peluang menjaringkan gol.

 Katanya, beliau melihat permasalahan tersebut dengan serius dan cuba mencari jalan mengatasinya dalam tempoh rehat beberapa hari ini.

 Kekalahan itu menyaksikan skuad Kuching FA menutup pusingan pertama Piala FAM dengan mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan dan sekali seri.

 Aksi pusingan kedua bermula Ahad ini (30 April) dengan kedua-dua pasukan sekali lagi bertembung di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini.

Advertisement