Anda di sini

Ambil pendekatan kreatif bangun kawasan beli-belah, kediaman

Advertisement
 Naroden menerima cenderahati daripada Samat sambil disaksi (dari kiri) Rubiah, Malcom dan Ibrahim. Turut kelihatan Minos (kanan) dan tetamu kehormat lain.
TERIMA KASIH: Naroden menerima cenderahati daripada Samat sambil disaksi (dari kiri) Rubiah, Malcom dan Ibrahim. Turut kelihatan Minos (kanan) dan tetamu kehormat lain.

Cita rasa masa kini jauh berubah, inginkan semuanya di satu tempat

KUCHING: Konsultan dan pemaju hartanah harus berubah dengan mengambil pendekatan yang lebih kreatif dalam menyediakan kawasan beli-belah mahupun tempat kediaman yang mempunyai reka bentuk moden serta unik agar tidak hilang tarikan.

 Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang memberitahu cita rasa rakyat pada masa kini sudah berubah di mana mereka boleh melihat dan mendapat semua yang diinginkan di satu tempat sahaja.

 “Carilah reka bentuk yang terkini dan moden yang dilengkapi dengan kaki lima yang luas serta landskap menarik tidak kira pembangunan yang dilaksnakan di bandar, pinggir bandar mahupun luar bandar.

 “Kalau tidak bangunan kedai dan perumahan dengan reka bentuk lama selepas tiga atau empat tahun ia akan kehilangan tarikan dan pasaran,” katanya.

 Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais pada majlis perasmian Aimal Mall di pekarangan tempat letak kereta Aiman Mall, Kota Samarahan semalam.

 Bagaimanapun, Abang Johari berkata, ia tidak harus diterjemahkan sebagai strategi yang menyebabkan harga semakin mahal.

 “Harga harus berpatutan supaya boleh mencapai pasaran yang berpendapatan rendah dan sederhana dan tidak hanya untuk orang kaya sahaja.

 “Justeru, pemaju dan konsultan harus bekerjasama dari peringkat awal lagi bersama pengeluar batu bata, simen, premix, jubin, cerucuk dan barang binaan lain,” jelasnya lagi.

 Selain itu, beliau memberitahu kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk menjadikan Kota Samarahan sebagai Kota Ilmu yang berperanan sebagai ‘enjin’ pembangunan ekonomi, perhubungan dan perkhidmatan untuk kawasan sekitarnya.

 Dalam masa sama, Menteri Perumahan dan Urbanisasi itu berkata, pemaju harus menggalakkan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat dengan memberi ruang untuk para peniaga kecil berniaga.

 “Saya mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Syarikat Aiman kerana sanggup bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyediakan satu ruang yang besar kepada peniaga kecil di sini.

 “Taman Selera Aiman Mall ini pasti menjadi penarik pelanggan kerana mereka mempunyai pilihan yang banyak untuk membeli-belah, hiburan, makanan dan sebagainya,” ujarnya.

 Hadir sama pada majlis perasmian itu semalam, Menteri Muda Pertanian Malcom Mussen, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, Pengerusi Kumpulan Syarikat Aiman Samat Othman, Residen Samarahan Ibrahim Lumpu, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Dato Peter Minos dan tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement