Anda di sini

Seorang maut, seorang parah bot awam dan bot pelancong berlanggar

Advertisement
 Kedua-dua bot terlibat kini disita untuk siasatan lanjut.
KEMALANGAN: Kedua-dua bot terlibat kini disita untuk siasatan lanjut.

SEMPORNA: Seorang meninggal dunia dan seorang cedera parah dalam insiden perlanggaran sebuah bot awam dengan bot pelancong di perairan Pelabuhan Semporna, berhampiran ‘floating’, di sini, kira-kira jam 3.10 petang Rabu.

Kemalangan itu melibatkan bot awam yang dinaiki empat lelaki dan bot pelancong yang dinaiki seorang juragan, dua kru dan 10 pelancong China (lima lelaki, lima perempuan).

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata mangsa yang maut ialah Muhammad Arhidar Abdullah, 10, beralamat di Kampung Samar-Samar Pulau Bum Bum.

“Semasa ditemui, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia iaitu kira-kira tiga jam selepas dilaporkan hilang di laut dalam insiden yang berlaku,” katanya di sini, kelmarin.

Katanya seorang lagi penumpang, Juliman Rasis, 24, beralamat di Kampung Terusan Kiba, Pulau Bum-Bum pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Tawau bersama Arhidar.

Peter berkata selain Arhidar dan Juliman, bot awam terlibat turut dinaiki Jaafar Bakial, 41, dan Mohamad Rijal Rano, 12, yang berjaya diselamatkan di dalam insiden terbabit.

“Kesemua pelancong, juragan dan dua kru bot pelancong yang dilengkapi dengan dua enjin bot berkapasiti 250 kuasa kuda (setiap satu) berkenaan tidak cedera,” katanya.

Beliau berkata sebelum insiden itu berlaku, bot pelancong terbabit dalam perjalanan dari Pulau Mataking menuju ke Pekan Semporna untuk menghantar muatan pelancongnya.

Mengikut keterangan pengadu, perlanggaran itu berlaku kerana tidak menyedari bot awam terbabit yang dikatakan tiba-tiba berada di hadapan bot pelancong.

“Hasil soal-siasat dengan pengadu, silauan matahari adalah punca pengadu tidak dapat melihat kelibat bot awam yang datang dari arah kanan melintas di hadapan botnya.

“Kelibat bot awam hanya disedari pada jarak kira-kira lima meter dari bot pelancong, dan sebaik pertembungan berlaku antara haluan bot pelancong dan buritan bot awam,” katanya.

Peter berkata kejadian itu menyebabkan bot pelancong itu terdorong ke hadapan dari lokasi kejadian, dan ada beberapa orang dari bot awam itu dilihat berenang.

Selepas insiden itu berlaku, katanya, juragan dan kru bot pelancong kemudiannya bergegas dan menyambut mangsa terlibat untuk menaiki bot mereka.

“Juragan ataupun suspek utama kes ini kini ditahan reman bermula hari ini selama empat hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan,” katanya.

Advertisement