Anda di sini

Ir Radzi di konsert pembukaan rasmi Aiman Mall malam ini

Advertisement
IR RADZI
IR RADZI

KUCHING: Konsert khas sempena pembukaan rasmi Aiman Mall, pusat membeli belah terbaru dalam Bahagian Samarahan yang akan berlangsung pada malam ini bakal menampilkan penyanyi kelahiran Sarawak iR Radzi yang kini sedang mempromosikan album baharu ‘Sempurna’ serta single ‘Bujang Duda’ .

Lagu ‘Bujang Duda’ adalah kolaborasi buat pertama kali pelantun lagu popular ‘Sempurna Waktu’ itu bersama pengacara, pengarah dan penerbit, CK Faizal.

Lagu ini dicipta oleh iR Radzi sendiri manakala liriknya ditulis oleh CK Faizal. Karya ini adalah percubaan pertama CK Faizal selaku penulis lirik, sekaligus menambah lagi satu bidang dalam profil kerjayanya.

Sebagai karya pertama mereka bersama, lagu yang dicipta seiring dengan ‘trend’ dan gaya lagu terkini, membawa genre pop, berkonsepkan ‘catchy’ dengan lirik yang begitu ‘straight forward’ dan mudah didengari dan difahami.

Selain itu, ‘Bujang Duda’ ini merupakan lagu duet pertama iR Radzi sepanjang bergelar penyanyi selama enam tahun.

Menurut iR Radzi, “Lagu ini mempunyai keunikkan pop jazz dan diadun bersama genre R&B. Ini juga merupakan percubaan kebolehan dan mahukan kombinasi yang berbeza dengan pencipta lirik yang lain. Saya mengharapkan lagu ini akan mendapat perhatian dan sambutan daripada pendengar masa kini.”

Lagu ‘Bujang Duda’ kini boleh didengari dari pelbagai platform muzik digital termasuk iTunes, Spotify dan aplikasi Raku. Para peminat iR Radzi juga boleh mengikuti perkembangannya melalui laman Instagram rasmi beliau di @irradzi.

Konsert pembukaan rasmi Aiman Mall dijadual akan bermula jam 7.30 malam.

Selain iR Radzi, penyanyi baharu yang semakin meningkat naik Eleena Harris serta beberapa artis lain seperti Bervinta Ariansyah, Lissa V dan D’Cipta Band akan turut menggegarkan pentas konsert berkenaan pada malam ini.

Penyampai radio ERA fm Sarawak Afick Wazai dan Firr Affandi akan turut serta bagi memeriahkan lagi keadaan.

Dibangunkan oleh Aiman Mantap Sdn Bhd dengan kos RM30 juta, Aiman Mall menawarkan lebih 100 lot kedai dengan keluasan 120,000 kaki persegi.

Menurut pengerusinya Samat Othman, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sempena dengan majlis perasmian pada hari tersebut bermula dari seawal jam 10 pagi hingga malam.

Pada sebelah paginya juga, satu pertunjukan fesyen akan turut diadakan yang bakal menampilkan pereka fesyen tempatan Maatin Shakir yang akan memperkenalkan koleksi raya 2017 beliau.

Dianggarkan antara 3,000 hingga 4,000 pengunjung akan hadir pada majlis perasmian pusat membeli belah itu dan bilangan pengunjung dijangka bertambah dua kali ganda pada malam konsert.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berkongsi kereta untuk ke Aiman Mall bagi mengelak kesesakan teruk jalan raya kerana tempat parkir adalah terhad.  

  • oleh
  • Advertisement