Anda di sini

Dituduh bunuh bapa, lelaki berdepan hukuman mati

Advertisement
 Amirul (dua kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya di rumahnya di Padang Besar, Kangar. — Gambar Bernama
MEMBUNUH: Amirul (dua kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya di rumahnya di Padang Besar, Kangar. — Gambar Bernama

KANGAR: Seorang penganggur berdepan hukuman mati setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya di rumahnya di Padang Besar, dekat sini, minggu lepas.

Tertuduh Amirul Amin Amran, 24, didakwa membunuh Amran Ariffin, 53, di rumah tidak bernombor di Batu 4 ½, Jalan Padang Melangit, Padang Besar, antara jam 7.20 dan 7.30 malam, 14 April lepas.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Amirul Amin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu cuba membunuh diri menggunakan sebilah pisau di tempat dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mohd Azhar Hamzah.

Tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Mohd Azhar menetapkan 17 Julai depan untuk sebutan semula kedua-dua kes tersebut sementara menunggu laporan perubatan dan bedah siasat. — Bernama

Advertisement