Anda di sini

Aset dan keanggotaan APMM paling besar di Sabah

Advertisement

SEMPORNA: Kekuatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mengawal keselamatan perairan negeri ini kian dipertingkatkan apabila Sabah menerima penempatan aset paling besar dengan kekuatan anggota yang ramai berbanding negeri lain.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, setakat ini Sabah menerima kira-kira 70 aset permukaan iaitu kapal dan bot yang ditempatkan di kawasan-kawasan sensitif bagi memastikan perairan negeri dikawal rapi.

“Kawalan perairan ini turut dilaksanakan bersama aset Angkatan Tentera Malaysia, polis dan agensi keselamatan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Pejabat Pangkalan Maritim Semporna oleh bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai di sini, semalam.

Pejabat itu mula beroperasi di Dataran Kompleks Inabah Kamal pada 1 Okt tahun lepas dengan 60 kakitangan dan dilengkapkan sembilan aset.

Pejabat itu merupakan sumbangan peribadi Sakaran kepada APMM tanpa perlu membayar sewa, selain kedudukan pejabat yang strategik serta dapat memudahkan penyelarasan pelan kontingensi apabila berlaku ancaman keselamatan atau bencana alam.

Puzi berkata selain meningkatkan aset APMM di Sabah, kerjasama termasuk perkongsian maklumat risikan adalah penting bagi menyusun langkah taktikal yang boleh dilaksanakan untuk mematahkan segala ancaman di perairan negara.

“Apa juga niat untuk mengancam negara mampu dipatahkan dengan cara kita bersedia dan menjalin kerjasama strategik  dengan agensi lain termasuk menentukan segala bentuk operasi,” katanya.

Sementara itu, katanya penambahan aset APMM di Sabah akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dan terbaharu adalah penempatan kapal KM Arau iaitu kapal ronda luar pesisir sepanjang 86 meter yang akan diterima dari Jepun.

“Kapal ini dilengkapkan tempat pendaratan helikopter dan ia dijangka belayar ke negara ini pada Jun atau Julai ini. Ia akan ditempatkan di Kota Kinabalu serta boleh bertugas d mana-mana sahaja khususnya d kawasan yang sensitif dan memerlukan kawalan lebih rapi,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya sebuah pangkalan kekal maritim akan dibina di Tampi-Tampi, Semporna yang turut dilengkapi dengan kawasan pendaratan helikopter dengan kos RM77 juta yang dijangka siap pada 2020.

“Pembinaan ini akan membawa kesan positif dengan peningkatan keupayaan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah,” katanya. — Bernama

Advertisement