Anda di sini

17 Mei dengar laporan akhlak atas tuduhan miliki harta curi

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 17 Mei depan mendengar laporan akhlak seorang remaja lelaki yang mengaku bersalah terhadap tuduhan memiliki harta curi.

Pada masa sama, mahkamah turut menetapkan 5 Mei untuk pengurusan kes seorang lelaki yang menafikan tuduhan sama.

Juvana terbabit, 16, dan Melvin Joe Ghia, 40, kedua-duanya dari Batu 8 Jalan Miri-Bintulu telah didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, juvana dan tertuduh terbabit didapati dengan curang telah menerima atau menyimpan harta curi iaitu satu unit kotak gear dan satu unit enjin kenderaan Ford Ranger dengan nombor pendaftaran QMJ97xx kepunyaan Mirian Jiew.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7 malam, 10 April lalu di sebuah rumah di Kampung Desa Jaya Batu 8 Lambir, Jalan Miri-Bintulu di sini.

Terdahulu, pegawai pendakwa ASP Mary Ong memohon ditetapkan satu tarikh baharu masing-masing untuk mendengar laporan akhlak juvana terbabit dan pengurusan kes untuk Melvin.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu dan memerintahkan juvana terbabit dibebas dengan jaminan RM1,000 dengan ahli keluarga sebagai penjamin dan RM2,500 berserta dua penjamin tempatan untuk Melvin sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement