Anda di sini

Lelaki mengaku bersalah terima, miliki barang curi

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM1,500 atau tiga minggu penjara oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan menerima dan memiliki barang curi.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah Masri Muslah mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan ke atasnya mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati dengan curang telah menerima dan memiliki sebuah beg galas, segugus anak kunci, satu unit papan kekunci dan sekeping resit rasmi kerajaan kepunyaan seorang guru wanita.

Masri, 31, dari Kampung Rancah-Rancah, Bekenu didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.45 petang, 14 April lalu di hadapan sebuah restoran di Waterfront Miri di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.

Tambahan semasa ditangkap, dia hendak memulangkan barangan tersebut kepada pengadu dan mereka berjanji untuk berjumpa di restoran berkenaan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mizlan Abdul Ghani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement