Anda di sini

Lelaki disyaki terlibat kes curi direman tiga hari

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes curi beberapa komponen sebuah kenderaan pacuan empat roda diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Suspek, 40, dari Batu 8 Jalan Miri-Bintulu di sini diperintahkan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu menurut keterangan Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Zairustam Abdullah, pada 16 April lalu, seorang wanita telah membuat laporan polis.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 8 pagi hari sama bertempat di hadapan sebuah rumah di Kampung Desa Jaya Batu 8 Lambir, beliau dapati beberapa komponen sebuah kenderaan pacuan empat roda milik adik perempuannya telah hilang.

Pengadu dan anaknya yang membuat pemeriksaan lanjut mendapati satu set kotak gear, satu set enjin kenderaan, empat pintu serta beberapa komponen yang lain telah hilang.

Kerugian dianggarkan bernilai RM15,000.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 12.45 tengah hari, 18 April lalu di pekarangan sebuah rumah di Batu 8 1/2 Lambir, sepasukan polis diketuai ASP Unang Giang telah menangkap seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Pada jam 1.15 petang hari sama, polis dengan dipandu arah oleh suspek telah pergi ke sebuah rumah di Kampung Pujut Padang Kerbau di sini untuk merampas sebuah enjin kenderaan seperti yang dilaporkan hilang oleh pengadu.

Hasil siasatan awal polis mendapati suspek ada membeli sebuah enjin kenderaan daripada dua lelaki lain.

Dalam permohonan lanjutnya, Zairustam berkata reman semalam empat hari ke atas suspek yang bekerja sendiri amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Tambahan, polis masih memerlukan masa untuk mengesan beberapa suspek lain yang masih bebas dan membebaskan suspek ini lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, Majistret Zuraini Ali Musa hanya meluluskan reman tiga hari ke atas suspek yang akan tamat pada 22 April ini.

Advertisement