Anda di sini

Dua anggota polis direman berkaitan kes samun

Advertisement

KOTA BHARU: Dua anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal bersama seorang awam direman selama enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes samun terhadap seorang lelaki di Jalan Sri Cemerlang di sini pada 15 April lalu.

Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan ACP Abdul Basir Ahmad berkata tiga suspek itu yang berumur lingkungan 30-an dikatakan menahan mangsa yang berusia 23 tahun di sebuah hotel pada jam 5 pagi dan membawa mangsa ke dalam sebuah kereta sebelum mengambil wang mangsa kira-kira RM2,000.

Mangsa memberitahu, suspek mengambil wang kira-kira RM2,000 daripadanya sebelum dia dilepaskan. Mangsa yang tidak berpuas hati kemudiannya membuat laporan polis pada 17 April lepas,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kelantan di IPK Kelantan di sini, semalam.

Abdul Basir berkata dua anggota polis terbabit yang bertugas di sebuah balai polis di sini serta rakannya itu akan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Pada majlis itu Timbalan JPJKK Supt Sheikh Azhar Sheikh Omar dilantik sebagai Ketua jabatan tersebut menggantikan Pemangku SAC Ahmad Fadzillah Mohamed yang bertukar ke Sabah bagi jawatan sama. — Bernama

Advertisement