Anda di sini

Bomoh didenda atas kesalahan babit pemujaan

Advertisement
 Tertuduh (duduk, kiri) semasa bercakap dengan pegawai JAIS di hadapan Mahkamah Rendah Syariah Bintulu, semalam.
SELESAI PERBICARAAN: Tertuduh (duduk, kiri) semasa bercakap dengan pegawai JAIS di hadapan Mahkamah Rendah Syariah Bintulu, semalam.

BINTULU: Mahkamah Rendah Syariah Bintulu menjatuhkan hukuman denda RM1,800 atau satu tahun penjara terhadap seorang lelaki atas kesalahan membabitkan pemujaan di sebuah hotel bajet di sini, semalam.

Hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Wahabi Isenan di bawah bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah ke atas Wahab Marjuki, 57, di bawah Seksyen 3 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah Sarawak yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM2,000 atau dua tahun penjara.

Tertuduh yang berkahwin, beragama Islam dan berasal dari Sabah membayar denda tersebut selepas perbicaraan semalam.

Bidang kuasa mahkamah tinggi pula memperuntuk denda maksimum RM5,000 dan enam tahun penjara.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Anisah Amit di Mahkamah Rendah Syariah Bintulu di Pejabat JAIS Bintulu, di sini.

Terdahulu, tertuduh ditahan dalam serbuan pada 15 April lalu dalam Operasi Bersepadu diketuai Pegawai Penguat Kuasa JAIS Bintulu Ustaz Khalidi Mohammad Idris dengan bantuan pegawai penguat kuasa agama dari JAIS Bintulu dan Kuching.

Operasi turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Inspektor Shafiee Kamri.

Pada kira-kira jam 7 pagi, operasi dilancar dan pemeriksaan mendapati tertuduh berada di dalam bilik hotel tersebut dan turut ditemui barang yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemujaan sekali gus disita.

Hasil keterangan yang diambil, tertuduh menyatakan telah mendiami bilik itu sejak 16 Februari 2017 dan kehadirannya di Bintulu adalah atas jemputan orang ramai yang hendak berubat dengannya.

Menurutnya, hampir 30 orang datang berubat dengannya sepanjang tempoh itu dan bayaran perubatan terserah kepada kemampuan pelanggan.

Semasa serbuan itu, antara barang dipercayai untuk tujuan perubatan dan pemujaan yang dirampas pihak penguat kuasa jabatan terbabit ialah patung, malah tertuduh difahamkan mendapat ilmu mengubat orang berdasarkan apa yang dimimpinya.

Laporan tangkapan telah dibuat di Balai Polis Bintulu pada jam 1.05 petang, 15 April lalu.

Antara barang yang dirampas daripada tertuduh ialah minyak dan kotak kayu berisi patung, cawan kertas berisi serbuk, batu dan kemaluan buaya, azimat akar kayu, bulu landak, kacang batu, minyak hatta, batu kalimah serta kain wafak dan baju wafak.

Turut dirampas, keris pusaka, kotak berisi kayu penawar, kotak berisi kayu duit RM11 beg tangkal, satu beg tangkal, tiga telur batu, serbuk duit, duit 20 sen, hidupan laut dan azimat serta dua beg hitam dan satu beg warna merah untuk menyimpan barang.

Advertisement