Anda di sini

Ahok mungkin terlepas hukuman penjara

Advertisement

Pendakwa raya syor tempoh percubaan selepas tewas pilihan raya Gabenor Jakarta

 Penyokong calon Gabenor Jakarta Anies Baswedan bersorak gembira ketika Baswedan mendahului dalam kiraan undi di pusat mengundi Petamburan di Jakarta, Indonesia kelmarin. — Gambar Reuters
BERSORAK GEMBIRA: Penyokong calon Gabenor Jakarta Anies Baswedan bersorak gembira ketika Baswedan mendahului dalam kiraan undi di pusat mengundi Petamburan di Jakarta, Indonesia kelmarin. — Gambar Reuters

JAKARTA: Gabenor Jakarta yang beragama Kristian mungkin akan terlepas daripada hukuman penjara kerana didakwa kufur selepas pendakwa raya semalam mengesyorkan tempoh percubaan sahaja, sehari selepas dia tewas dalam pilihan raya pusingan kedua yang dipengaruhi sentimen keagamaan yang mencemari imej Indonesia sebagai kubu kuat bagi Islam yang toleran. 

Syor bagi tempoh percubaan selama dua tahun dalam perbicaraan Basuki Tjahaja Purnama, dengan kemungkinan hukuman pen- jara selama setahun jika dia melakukan jenayah dalam tempoh tersebut, adalah lebih ringan daripada apa yang dijangkakan kerana dia sebelum ini dijangka akan dipenjara selama beberapa tahun.

Tuntutan hukuman itu bagi dakwaan menghina Islam dibuat selepas dia ditewaskan kelmarin oleh seorang pencabar beragama Islam yang dituduh memberi galakan kepada golongan konservatif yang tegar untuk memenangi undi dalam pertandingan bagi jawatan gabenor Jakarta.

Dakwaan tentang kekufuran itu dan kekalahan Purnama seterusnya dalam pilihan raya telah mencetuskan kebimbangan bahawa tradisi pluralistik di negara dengan penduduk Islam paling ramai di dunia itu sedang diancam oleh pengaruh golongan konservatif tegar, yang menuntut pendakwaan gabenor itu dalam siri tunjuk perasaan besar-besaran.

Ketua pendakwa raya Ali Mukartono mengesyorkan agar Purnama, dikenali dengan nama timangan Ahok, didapati bersalah bagi kekufuran dan diberi tempoh percubaan selama dua tahun, dengan kemungkinan bagi hukuman penjara selama setahun.

Jika dalam tempoh dua tahun itu, Ahok tidak melakukan sebarang tindakan jenayah baharu, seperti rasuah, mencuri, dia akan bebas,” kata peguamnya I Wayan Sudirta kepada AFP.

Jika dalam tempoh dua tahun itu, dia ada melakukan perbuatan jenayah, dia perlu menjalani hukuman penjara selama setahun.”

Pendakwa raya mengesyorkan agar dia disabit kesalahan atas tuduhan kufur yang lebih ringan dan membawa hukuman maksimum penjara selama empat tahun.

Mereka dapat mengesyor-kan dakwaan kufur yang lebih serius dan membawa hukuman penjara selama lima tahun. Untuk menghadapi dakwaan yang lebih serius, defendan mesti dituduh melakukan perbuatan itu dengan sengaja.

Syor hukuman adalah satu langkah biasa dalam kes mahkamah di Indonesia, dan biasanya disusuli oleh keputusan beberapa minggu kemudian. — AFP

Advertisement