Anda di sini

Tiga persatuan hotel tidak berpuas hati cadangan cukai pelancongan

Advertisement

PUTRAJAYA: Tiga persatuan hotel berharap akan mendapat peluang untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan, terutamanya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, berkaitan dengan cadangan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 yang dibentangkan bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat awal bulan ini.

Menurut tiga persatuan itu - Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia  - cukai pelancongan yang termasuk dalam rang undang-undang itu tidak kondusif bagi perniagaan dan akan menyebabkan pelancong tidak menginap lama kerana mereka terpaksa membayar lebih.

Presiden MAH, Cheah Swee Hee, memberitahu sidang akhbar kelmarin rakyat Malaysia juga akan menerima kesan bagi pelancongan dalam negara sama ada bagi liburan atau perniagaan.

Ini akan membebankan rakyat tempatan dan menjejaskan pasaran pelancongan domestik terutamanya warga tempatan yang menginap di hotel apabila melawat anak-anak mereka di institusi pengajian tinggi dan saudara-mara di hospital,” katanya.

Cheah berkata, hotel telah membelanjakan banyak wang bagi menaik taraf sistem operasi mereka untuk memenuhi keperluan cukai barang dan perkhidmatan pada 2015 dan dengan cadangan cukai pelancongan, hotel-hotel akan sekali lagi perlu menanggung kos untuk menyusun semula sistem mereka.

Cadangan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 itu dibentangkan bagi bacaan pertama oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan  Datuk Seri Mohamed NazriAbdul Aziz di Dewan Rakyat pada 4 April.

Rang undang-undang itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan cukai pelancongan ke atas pelancong yang menginap di premis pelancongan di Malaysia.

Cukai yang akan dikenali sebagai Cukai Pelancongan itu dirancang untuk dikenakan dan dilevikan ke atas pelancong yang menginap di mana-mana premis penginapan yang disediakan oleh pengendali pada kadar yang ditetapkan oleh menteri. — Bernama

Advertisement