Anda di sini

Syria sambung semula evakuasi penduduk

Advertisement

Susulan serangan berdarah minggu lepas, bandar Fuaa dan Kafraya terus dikosongkan

 Orang awam dan pemberontak dari bandar Fuaa dan Kafraya tiba dengan bas di pinggir Rashidin luar Aleppo semalam. — Gambar AFP
HIDUP MESTI DITERUSKAN: Orang awam dan pemberontak dari bandar Fuaa dan Kafraya tiba dengan bas di pinggir Rashidin luar Aleppo semalam. — Gambar AFP

RASHIDIN: Pemindahan orang awam dan pejuang dari bandar-bandar yang dikepung di Syria bersambung semalam selepas serangan bom pada hujung minggu lepas di sebuah pusat transit mengorbankan 126 orang, 68 daripadanya kanak-kanak, seorang wartawan AFP melaporkan.

Puluhan bas dari bandar-bandar yang dikuasai kerajaan, Fuaa dan Kafraya, yang sudah dilumpuhkan oleh kepungan selama lebih dua tahun, sampai di pinggir pusat transit yang dikuasai pemberontak di Rashidin di luar bandar raya kedua yang dikuasai kerajaan, Aleppo, kata wartawan itu.

Observatori Hak Asasi Manusia Syria mengesahkan persetujuan evakuasi yang diperolehi dengan susah payah itu sudah dilaksanakan semula.

Proses itu sudah disambung dan 3,000 orang meninggalkan Fuaa dan Kafraya pada waktu subuh dan hampir 300 lagi meninggalkan Zabadani serta dua kawasan lain yang dikuasai pemberontak,” kata ketua kumpulan pemantauan yang berpangkalan di Britain itu, Rami Abdel Rahman, kepada AFP.

Rashidin merupakan lokasi serangan bom berdarah pada Sabtu lepas.

Sekurang-kurangnya  109 daripada mangsa yang terkorban adalah penduduk yang berpindah. Mangsa lain adalah pekerja bantuan dan pemberontak yang melindungi konvoi.

Puluhan mangsa yang cedera dibawa ke hospital di wilayah berdekatan yang dikuasai pemberontak, manakala mangsa lain dibawa ke Aleppo.

Evakuasi itu dilaksanakan di bawah persetujuan di antara kerajaan dengan pemberontak yang turut menyaksikan penduduk dan pemberontak diangkut keluar dari Madaya dan Zabadani, bandar-bandar berdekatan Damsyik yang dikelilingi tentera prokerajaan.

Persetujuan itu merupakan yang terbaharu dalam beberapa perjanjian sedemikian, yang menurut kerajaan Presiden Bashar al-Assad adalah cara terbaik untuk menamatkan keganasan selepas perang saudara selama lebih enam tahun.

Pemberontak berkata mereka sama seperti pemindahan paksaan setelah serangan bom dan kepungan selama bertahun-tahun.

Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab bagi serangan bom pada Sabtu lepas.

Kumpulan pemberontak Islamis, Ahrar al-Sham, yang mempunyai ramai pejuang di kawasan kejadian, menafikan sebarang pembabitan.

Kerajaan menyalahkan “pengganas” – satu istilah umum bagi semua penentangnya.

Perjanjian evakuasi itu diatur lewat bulan lepas oleh Qatar, penyokong pemberontak sejak sekian lama, dan Iran, sekutu rejim yang penting.

Pelaksanaannya sudah beberapa kali ditangguhkan tanpa sebab. — AFP

Advertisement