Anda di sini

Pembunuh bunuh diri selepas dikejar polis

Advertisement
 Anggota polis bersiap sedia untuk mengalihkan mayat Stephens (gambar sisipan) yang membunuh diri selepas dijejaki pihak berkuasa di Erie, Pennsylvania kelmarin. — Gambar AFP
BERAKHIR TRAGIK: Anggota polis bersiap sedia untuk mengalihkan mayat Stephens (gambar sisipan) yang membunuh diri selepas dijejaki pihak berkuasa di Erie, Pennsylvania kelmarin. — Gambar AFP

NEW YORK: Seorang lelaki bersenjata di Amerika Syarikat (AS) yang membunuh seorang warga emas dan memuat rakaman pembunuhan itu dalam Facebook membunuh diri kelmarin selepas dikejar polis seketika.

Steve Stephens, 37, yang mungkin tidak waras, telah melarikan diri sejak Robert Godwin Sr, 74, ditembak mati pada Ahad Paska, dipercayai secara rambang pada waktu siang di Cleveland, Ohio.

Polis menerima maklumat penting selepas Stephens melarikan diri hampir 48 jam, apabila seorang pekerja McDonald’s mengenalinya di restoran pandu lalu di Pennsylvania sejurus selepas jam 11 pagi dan menghubungi pihak berkuasa.

Dia dikejar seketika dan kenderaan itu dihentikan. Ketika dihampiri polis, Steve Stephens membunuh diri,” kata ketua polis Cleveland, Calvin Williams.

Polis Pennsylvania berkata dia menembak diri sendiri dengan pistol sebatu dari restoran McDonald’s itu.

Pemilik restoran berdekatan Erie Tom Ducharme memberitahu CNN Stephens memandu lalu, membuat tempahan dan membayar seorang pekerja, yang mengenalinya dan menghubungi polis.

Suspek, yang digambarkan sebagai bersenjata dan berbahaya, dalam senarai Paling Dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dengan ganjaran AS$50,000 bagi maklumat yang membawa kepada penangkapannya.

Stephens bekerja untuk agensi kesihatan tingkah laku yang memberi khidmat kepada kanak-kanak menerusi khidmat kesihatan mental, penjagaan dan anak angkat, belia berisiko dan program lain.

Namun menurut satu rentetan peristiwa yang dibuat oleh polis dan Facebook, Stephens memuatkan video pada petang Ahad lepas untuk menyatakan dia berhasrat untuk membunuh, dan menyusulinya dua minit kemudian dengan video serangan ke atas Godwin.

Dalam video ketiga 11 minit kemudian, yang distrim secara langsung dari kereta Stephens, dia berkata dia berhasrat untuk membunuh orang lain.

Ibu Stephens memberitahu CNN dia menghubunginya selepas mengetahui tentang video itu, dan Stephens memberitahunya dia menembak orang kerana marah dengan teman wanitanya.

Polis berkata, Godwin satu-satunya mangsa yang diketahui.

Stephens menuntut Godwin menyebut nama teman wanitanya dan menambah: “Dia punca perkara ini akan berlaku kepada anda.”

Tiada tanda menunjukkan Godwin mengenali teman wanita Stephens.

Facebook mengeluarkan video Stephens dan menutup akaunnya dua jam selepas dia mula-mula memuat naik. Ia mengakui penangguhan itu terlalu lama dan berkata ia sedang meneliti semula protokolnya.

Lebih 400 maklumat diterima sebelum suspek dikesan, dan anggota keluarga Godwin telah menyatakan mereka bersedia untuk memaafkan Stephens.

Saya tidak mahu lelaki itu mati, saya mahu dia dibawa ke muka pengadilan,” kata salah seorang anak lelaki Godwin, Robby Miller, kepada CNN.

Tidak diketahui sudah berapa lama Stephens berada di Erie, kawasan bangsal, ladang dan tanah hutan terpencil, kerana lokasi tersebut antara yang pertama diperiksa polis Ahad lepas. — AFP

Advertisement