MIRI: Seorang lelaki didenda RM2,300 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Abdul Khalid Abdul Rashid, 24, telah dituduh menggunakan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.15 petang, 16 Januari tahun ini di pejabat BSJND Miri di sini.
Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara dua tahun dan dikehendaki menjalani pengawasan serta-merta selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa, manakala tertuduh tidak diwakili.