Anda di sini

Lans koperal ditahan positif ambil dadah

Advertisement

LIMBANG: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditahan selepas positif Amphethamine dan Methamphethamine dalam satu pemeriksaan di balai polis dekat sini malam kelmarin.

Suspek lelaki, 31, bertugas sebagai polis sejak 12 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Limbang jam 7.50 malam.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika mengesahkan kejadian itu berkata saringan awal mendapati suspek positif Amphethamine dan Methamphethamine.

Jelasnya, suspek mempunyai rekod kesalahan sama pada 2011 dan hasil siasatan awal mendapati suspek terlibat aktiviti penagihan sejak awal 2011.

Katanya, suspek akan direman bermula hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Mohd Bukhori menegaskan pihaknya tidak akan melindungi mana-mana anggota terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah dan operasi sama diteruskan dari semasa ke semasa.

Dalam kes berasingan seorang remaja lelaki tidak pernah serik selepas dicekup kali kedua dalam bulan ini selepas positif Amphethamine dalam satu pemeriksaan disini pagi semalam.

Suspek 17, yang tidak lagi bersekolah ditahan jam 7.30 pagi.

Mohd Bukhori berkata hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah Amphethamine dan akan ditahan dalam tempoh 24 jam dan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Advertisement