Anda di sini

Juruteknik IT ditahan miliki besi buku lima di tempat awam

Advertisement

MIRI: Seorang juruteknik teknologi maklumat ditahan polis kerana disyaki memiliki senjata berbahaya iaitu satu besi buku lima ketika berada di tempat awam.

Kejadian berlaku di jam 11.10 pagi kelmarin di Lapangan Terbang Miri.

Terdahulu menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Khoo Leng Huat, seorang anggota polis bantuan yang sedang bertugas di mesin pengimbas mendapati mesin pengimbas ada merakam satu imej berbentuk buku lima di dalam sebuah beg warna coklat milik seorang penumpang lelaki.

Ketika penumpang terbabit mengambil beg itu, pengadu telah membuat pemeriksaan di dalam beg berkenaan dan menjumpai satu besi buku lima.

Pengadu bersama seorang pegawainya telah menangkap lelaki terbabit dan menyerahkannya kepada pihak polis lapangan terbang untuk tindakan lanjut.

Ketika ditahan, suspek yang berusia 36 tahun hendak menaiki penerbangan dari Miri ke Marudi,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Sehubungan itu, Khoo menasihati orang awam agar tidak membawa senjata berbahaya termasuk besi buku lima ketika berada di tempat awam kerana ia merupakan satu kesalahan yang serius.

Justeru kata beliau, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Advertisement