Anda di sini

Berlinangan air mata

Advertisement
 Betty kelihatan menangis ketika didakwa menyebabkan kematian bayi baharu dilahirkannya.
SUGUL: Betty kelihatan menangis ketika didakwa menyebabkan kematian bayi baharu dilahirkannya.

KUCHING: Sepanjang berada di mahkamah ketika proses pendakwaan kes pembuangan bayi semalam, tertuduh Betty Kulleh, kelihatan menangis dan berlinangan air mata.

Ibu bapa dan saudara-mara terdekat turut berada di mahkamah bagi mengikuti perkembangan kes membabitkan penuntut kolej berumur 23 tahun itu yang dituduh menyebabkan kematian bayi baharu dilahirkannya pada 11 April lepas.

Seorang lelaki yang dikatakan teman lelaki tertuduh, juga kelihatan berada di mahkamah.

Ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, tidak ada pengakuan direkodkan daripada wanita berasal dari Belaga itu.

Majistret Zulhairil Sulaiman mengarahkan tertuduh agar dilanjutkan tahanan reman memandangkan kes berkenaan tidak boleh diikat jamin.

Beliau menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan semula, sementara menunggu laporan kimia kes berkenaan lengkap.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membolehkan pesalah dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Hisyam Junaidi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Betty dituduh melakukan kesalahan di rumah sewanya di sebuah pangsapuri di Samajaya pada kira-kira jam 6 pagi hari berkenaan.

Pada hari kejadian, mayat bayi perempuan ditemui seorang tukang cuci di pangsapuri itu sekitar jam 10 pagi di tempat pembuangan sampah di kawasan terbabit.

Susulan itu, polis memberkas seorang pelajar kolej kira-kira dua jam selepas penemuan mayat bayi.

Advertisement