Tertuduh mengugut hendak mencederakan ibunya
MIRI: Seorang banduan dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh jatuh hukuman semalam.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.
Muhammad Fazrul Arfiq Faizullah, 26, dari Bandar Baru Permyjaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak mencederakan ibunya, Zaitun Midin, 50.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7.30 pagi, 29 Mac lalu di rumah keluarganya di Lorong 6 Quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini.
Terdahulu, kes itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes semalam memandangkan semasa sebutan pertama kes pada 4 April lalu, tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.
Bagaimanapun, dia berhasrat menukar pengakuannya kepada bersalah semalam.
Pada sebutan pertama kes, tertuduh yang hanya mengaku bersalah terhadap tuduhan kedua iaitu melakukan khianat dengan merosakkan sebuah kipas dan pintu rumah milik ibunya yang didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan telah dikenakan denda RM2,000 atau tiga minggu.
Tertuduh yang gagal membayar denda dikehendaki menjalani hukuman penjara tiga minggu.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.