Anda di sini

Bangkok haramkan penjaja jalanan

Advertisement
 Seorang penjaja jalanan berbual dengan pelanggannya di daerah Phrakanong, Bangkok kelmarin. — Gambar AFP
DIBANTERAS: Seorang penjaja jalanan berbual dengan pelanggannya di daerah Phrakanong, Bangkok kelmarin. — Gambar AFP

BANGKOK: Gerai makan jalanan akan diharamkan beroperasi di semua jalan utama Bangkok dalam kempen pembersihan besar-besaran, menurut pegawai perbandaran semalam, mencetuskan kecaman dan keluhan ibu negara obses makanan yang terkenal dengan kuisin tepi jalan yang pedas menyengat.

Sejak berbulan-bulan lalu pegawai perbandaran menyasari penjaja jalanan di seluruh metropolis itu di mana makan di tepi jalan sama ada mi larut malam atau serangga goreng boleh dikatakan telah menjadi hobi kebangsaan.

“Semua jenis gerai termasuk pakaian, barangan palsu dan gerai makanan akan diharamkan dari jalan utama bandar raya,” menurut ketua penasihat gabenor Bangkok Wanlop Suwandee.

“Mereka tidak akan dibenarkan atas sebab kebersihan dan kekemasan,” menurutnya untuk menjelaskan kempen berterusan selepas menerima aduan awam.

Para pegawai berkata, hampir dua pertiga daripada 30,000 penjaja jalanan di bandar raya itu sudahpun dipindah atau ditempatkan semula kerana memenuhi tepi jalan, menyukarkan pejalan kaki dan trafik.

“Saya pasti tidak akan ada lagi gerai di jalan utama.

“Kami telah membatalkan kebenaran untuk beroperasi,” tambahnya tanpa memberi tarikh akhir untuk penjaja terbabit berpindah.

Namun ramai rakyat Bangkok berkata, kesibukan tepi jalan itu adalah sebahagian tarikan di ibu negara dan pilihan makanan murah untuk semua di sebuah bandar raya di mana kos sara hidup lain melambung.

“Jika anda mahu membersihkan semua penjaja, nampaknya anda membersihkan budaya kita sendiri,” kata Chiwan Suwannapak yang bekerja untuk sebuah agensi pelancongan di Bangkok.

“Kita dapat melihat orang memasak, berinteraksi dengan mereka, melihat bahan-bahan yang digunakan,” tambahnya.

Makan di jalanan juga mengimbangi sosial dalam sebuah bandar raya yang amat tidak seimbang, di mana semua orang termasuk eksekutif perniagaan dan pemandu teksi motosikal duduk di atas kerusi plastik untuk menghirup mi pedas atau menikmati ayam goreng ketika trafik lalu-lalang.

Kepelbagaian makanan dari gerai-gerai tersebut juga menjadi tarikan utama pelancong yang menjana sektor penting ekonomi negara.

Bangkok sering disebut-sebut dalam senarai ternama antarabangsa untuk kuisin jalanan dan pelancong yang teruja mudah ditemui di kawasan yang terkenal dengan makanan sedap.

“Jika mereka menyasari penjaja, perniagaan juga akan terjejas, begitu juga tarikan di Jalan Khaosan,” kata Sanga Ruangwattanaku, presiden persatuan perniagaan di lokasi pelancong utama kota lama Bangkok.

Sejak merampas kuasa pada 2014, junta Thailand telah melancarkan kempen meluas moraliti dan kebersihan, yang menurut pengkritik sebagai satu cubaan untuk mengubah Bangkok menjadi bandar elit seperti Singapura, melaksanakan peraturan yang sudah lama terbiar atau diketepikan oleh budaya rasuah.

Ramai berharap senyap-senyap agar kempen tersebut akan gagal, tetapi sekarang perintah perbandaran menimbulkan ketakutan kalangan ribuan penjaja jalanan Bangkok.

Jurai Saisuthiwong, 61, yang menjual pisang goreng di Thonglor, lorong penjaja jalanan utama di kawasan paling mewah Bangkok, berpendapat golongan miskin akan terjejas teruk.

“Pihak berkuasa tidak mahu mendengar suara kami.

“Mereka hanya mahu bandar ini menjadi cantik, mereka tidak memikirkan rakyat miskin dan bagaimana ia akan menjejaskan kami,” katanya. — AFP

Advertisement