Anda di sini

Warga Palestin di penjara Israel mogok lapar

Advertisement

Ribuan menyahut seruan Barghouti sempena 50 tahun penjajahan rejim kejam Israel

 Penduduk Palestin menunjukkan gambar ahli keluarga mereka yang masih ditahan di penjara rejim Israel semasa perarakan Hari Tahanan Palestin di Nablus, Tebing Barat kelmarin. — Gambar Reuters
AMAT DIRINDUI: Penduduk Palestin menunjukkan gambar ahli keluarga mereka yang masih ditahan di penjara rejim Israel semasa perarakan Hari Tahanan Palestin di Nablus, Tebing Barat kelmarin. — Gambar Reuters

RAMALLAH: Ribuan penduduk Palestin yang meringkuk dalam penjara rejim Israel melancarkan mogok lapar semalam susulan seruan daripada pemimpin dan tahanan terkemuka Marwan Barghouti, satu pergerakan yang boleh memberi cabaran serius kepada rejim jika berterusan.

Mogok lapar tersebut diseru selaras dengan Hari Tahanan Palestin yang diperingati saban tahun, tetapi juga menjelang peringatan musim panas ini yang menandakan 50 tahun sejak Perang Enam Hari 1967 yang memulakan penjajahan rejim.

Tahanan Palestin kerap mengadakan mogok lapar tetapi jarang sekali pada skala besar-besaran.

Seruan Barghouti menambahkan kredibiliti mogok tersebut, di mana tokoh berusia 57 tahun itu menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana terlibat dalam intifada kedua Palestin.

Beliau tokoh popular kalangan rakyat Palestin dan tinjauan mencadangkan beliau berpotensi memenangi kerusi presiden Palestin.

Grafiti menunjukkan imej ikonik tangannya yang bergari diangkat tinggi di atas kepalanya sambil menunjukkan isyarat keamanan dapat dilihat di seluruh Tebing Barat.

Sejarah puluhan tahun membuktikan sistem tidak berperikemanusiaan penjajahan awam dan tentera Israel yang mahu melemahkam semangat tahanan dan negara mereka, dengan mengenakan kesengsaraan ke atas tubuh badan mereka, memisahkan mereka daripada keluarga dan komuniti mereka, menggunakan cara yang mengaibkan untuk mendorong pematuhan.

Di sebalik layanan seumpama itu, kami tidak akan menyerah kepadanya,” tulis Barghouti dalam lidah pengarang jemputan New York Times.

Issa Qaraqe, ketua hal ehwal tahanan bagi Pihak Berkuasa Palestin (PA), menyatakan kira-kira 1,300 tahanan Palestin menyertai mogok tersebut dan jumlahnya mungkin meningkat.

NGO Kelab Tahanan Palestin pula menyatakan jumlahnya 1,500, namun jurucakap penjara rejim Assaf Librati mendakwa 1,100 tahanan telah mengumumkan kelmarin niat mereka untuk memulakan mogok lapar.

Pihak berkuasa penjara telah memulakan tindakan disiplin ke atas mereka yang mogok, manakala sejumlah tahanan telah dipindahkan ke sayap penjara yang berlainan.

Langkah ini adalah untuk menegaskan bahawa pihak berkuasa penjara tidak akan berunding dengan tahanan,” jelas Librati lanjut.

Ketika ini kira-kira 6,500 penduduk Palestin ditahan oleh rejim atas pelbagai dakwaan kesalahan.

Tatkala ramai penduduk Palestin melihat Barghouti sebagai wira, rejim pula menyifatkannya sebagai penghasut serangan nekad berdarah intifada kedua dan peranannya dalam kebangkitan tersebut.

Bagi orang Palestin, penjara rejim telah menjadi simbol ketara penjajahan Israel.

Mereka yang mogok lapar telah mengeluarkan senarai tuntutan, termasuk akses kepada telefon, hak untuk dilawati lebih lama dan perkhidmatan perubatan lebih baik.

Radio awam rejim melaporkan Menteri Keselamatan Awam Gilad Erdan telah mengarahkan unit campur tangan untuk bersiap sedia dan sebuah hospital luar akan diwujudkan di luar sebuah penjara untuk mengelakkan tahanan yang jatuh sakit dihantar ke hospital awam.

Ia memetik Erdan sebagai berkata, tuntutan mengenai keadaan di penjara adalah tidak wajar sama sekali.

Daripada 6,500 tahanan Palestin terbabit, 62 daripadanya adalah wanita dan 300 lagi golongan bawah umur.

Lebih 500 ditahan tanpa pendakwaan atau pensabitan yang disebut sebagai ‘penahanan pentadbiran’.

Seramai 13 penggubal undang-undang Palestin juga ditahan. — AFP

Advertisement