Anda di sini

Video kejam marakkan ketegangan di Kashmir

Advertisement

SRINAGAR: Militan meningkatkan serangan di Kashmir India, termasuk menyerbu rumah-rumah pegawai polis, di sebalik peningkatan keganasan selepas tentera didakwa mengikat seorang lelaki pada bahagian depan jip sebagai perisai manusia.

Polis telah memfailkan kes ke atas unit tentera selepas askar di wilayah Himalaya itu dituduh menculik seorang penenun selendang berusia 24 tahun pada 9 April lalu, sebelum mengikatnya pada bahagian depan kenderaan mereka dan mengaraknya di seluruh kampung-kampung.

Video mengenai episod kejam itu tersebar meluas dalam media sosial dan meningkatkan bukti bahawa pencabulan hak asasi manusia kerap dilakukan pasukan keselamatan India dalam usaha mereka membendung kebangkitan pemberontak yang kini memasuki tahun ke-28.

Jurucakap tentera Leftenan Kolonel Rajesh Kalia berkata, ketulenan video itu sedang disiasat dan tindakan akan diambil ke atas anggota yang didapati bersalah.

Polis melepaskan gas pemedih mata semalam untuk menyuraikan para pelajar di bandar utama Srinagar dalam letusan portes terbaharu sejak demonstrasi minggu lepas susulan pilihan raya kecil yang gagal yang menyaksikan lapan maut.

Sepanjang hujung minggu lalu, dua lagi video tersebar dalam media sosial menunjukkan para pekerja parti politik pemerintah di negeri Jammu dan Kashmir mengecam politik arus perdana, seorang daripada mereka berdiri di samping seorang lelaki bersenjata.

Satu lagi video, didakwa menunjukkan pembunuhan seorang remaja berusia 17 tahun oleh pegawai separa tentera semasa pilihan raya kecil 9 April lalu, turut memarakkan kemarahan umum.

Anggota tentera menculik penenun selendang Farooq Ahmad Dar dekat rumah salah seorang saudaranya selepas mangsa membuang undi, katanya kepada media.

Lihatlah nasib mereka yang melontar batu,” seorang askar kedengaran berkata melalui alat pembesar suara dalam video tersebut ketika Dar diikat pada jip berkenaan.

Inilah fenomenanya sejak 27 tahun lalu.

Ini bukan kes pertama perisai manusia tetapi bezanya sekarang kes ini telah didokumentasikan melalui media sosial,” kata Khurram Parvez, aktivis terkemuka hak asasi manusia dari Kashmir yang dipenjarakan tahun lepas.

Polis telah mendaftarkan kes ke atas unit tentera tempatan, menurut ketua menteri Mehbooba Mufti, lantas menggesa pasukan keselamatan agar tidak bertindak melampaui batas.

Ketua polis negeri kelmarin menggesa anggotanya agar tidak pulang ke rumah masing-masing selepas militan menyerbu rumah empat pegawai.

Militan turut menembak mati seorang peguam yang bersekutu dengan parti pembangkang dan bekas komander antipembe-rontakan, menurut polis.

Seorang pekerja parti pemerintah turut dibunuh lewat Sabtu lalu. — AFP

Advertisement