Anda di sini

Subjek Sivik mungkin akan diperkenal semula

Advertisement

Mengukuh dan menerapkan nilai perpaduan dalam kalangan pelajar yang semakin pudar

 Mahdzir (tengah) ditemani Dr Sim dan Fatimah serta tetamu kehormat lain melihat replika bangunan baharu SJKC Stampin.
TERTARIK: Mahdzir (tengah) ditemani Dr Sim dan Fatimah serta tetamu kehormat lain melihat replika bangunan baharu SJKC Stampin.

KUCHING: Kementerian Pendidikan mungkin akan memperkenalkan semula subjek Sivik sebagai mata pelajaran khusus dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di semua sekolah di seluruh negara.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pendidikan sivik mungkin dapat mengukuh serta menerapkan semula nilai perpaduan dalam kalangan pelajar di sekolah yang dilihat semakin pudar pada masa kini.

Betul apa yang dikatakan TPM (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), kalau kamu dari sekolah agama selepas itu menyambung ke sekolah menengah agama manakala bagi pelajar sekolah jenis Cina mereka akan sambung pelajaran di sekolah persendirian Cina, jadi tiada interaksi antara pelajar dan ini menyebabkan kurangnya semangat perpaduan.

Perkara ini perlu kita bincangkan bersama di peringkat kerajaan negeri dan pusat bagaimana kaedah yang terbaik untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan pelajar ini sama ada subjek Sivik diadakan semula atau mengadakan program yang dapat mempertingkatkan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Stampin di sini semalam.

Pada November 2014, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) yang merupakan mata pelajaran teras di sekolah menengah tidak diajar sebagai mata pelajaran khusus dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Pada masa sama, Mahdzir memberitahu meskipun kementerian ada melaksanakan progam Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) tetapi ia kurang memberi kesan terhadap usaha meningkatkan perpaduan dalam kalangan pelajar.

RIMUP hanya dilaksanakan di beberapa sekolah sahaja, jadi kita perlu mencari pendekatan yang lebih baik atau meningkatkan interaksi untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan pelajar yang berbilang kaum dan agama di negara ini,” jelasnya.

Namun katanya, Sarawak tidak mempunyai masalah perpaduan dalam kalangan pelajar kerana semangat perpaduan masyarakat di negeri ini sangat utuh berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata pihaknya masih memerlukan maklumat terperinci dan kelancaran penggunaan kad tunai dalam kalangan pelajar sekolah seperti yang dilaksanakan oleh Angkasa.

Ia perlu dibincangkan dan untuk kita laksanakannya perlu ada persetujuan daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah yang mahu menggunakan sistem ini,” ujarnya.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Dr Khair Mohd Yusuf, Timbalan Ketua Setiausaha KPM Datuk Seri Azmi Lateh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus, Pengerusi San Chin-BBC JV Sdn Bhd Datuk Barry Yek, Pengarah Urusan San Chin-BBC JV Sdn Bhd Lee Chin Teck dan tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement