GEORGE TOWN: Seorang penasihat sebuah syarikat pemaju hartanah bergelar Datuk Seri dan anaknya bergelar Datuk, yang disiasat bagi kes skandal tanah di negeri ini, dibebaskan daripada tahanan reman semalam.
Pendaftar Kanan Tertinggi Mahkamah Sesyen dan Majistret George Town Ahmad Tajudin Zain membenarkan penasihat berusia 74 tahun itu dan anaknya, 47, yang juga pengarah syarikat, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masing-masing sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin.
Bagaimanapun, prosiding semalam dijalankan di sebuah hospital swasta kerana penasihat berkenaan dimasukkan ke hospital itu akibat mengalami tekanan darah tinggi pada Jumaat lepas.
Terdahulu, anak lelaki penasihat itu dibawa dari bangunan SPRM ke hospital berkenaan kira-kira jam 10.50 pagi semalam dan keluar dari bangunan hospital itu sejam kemudian.
Ahmad Tajudin tiba di hospital itu pada jam 11.30 pagi semalam.
Menurut kenyataan SPRM sebelum ini, dua beranak itu ditahan bagi membantu siasatan skandal tanah yang melibatkan sebuah yayasan berkepentingan Bumiputera di Pulau Pinang.
Mereka dipercayai telah menyalahgunakan kedudukan dan menjual tanah milik anak syarikat yayasan itu tanpa melalui proses dan tatacara yang ditetapkan dengan harga jauh lebih rendah berbanding harga asal. — Bernama