Anda di sini

Program Pintar bentuk jati diri pelajar dari pengaruh dadah

Advertisement

KENINGAU: Program Intelek Asuhan Rohani (Pintar) amat penting dalam membentuk jati diri pelajar dari pengaruh dadah,  kata Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Sairin Karno di sini.

Saya berharap satu impak berterusan terhadap para pelajar dalam menghadapi situasi ini ketika berada di luar,” katanya semasa berucap menutup Kem Pintar di dewan SK Luagan di sini kelmarin.

Katanya, Kem Pintar seharusnya diteruskan ke seluruh sekolah rendah lain di setiap daerah memadangkan ia memberi perkembangan positif terhadap pelajar dalam menangani masalah dadah secara bijaksana.

Sairin berkata, masalah dadah berkait rapat dengan masalah kesihatan dan keselamatan dan strategi jangka panjang ini seperti program ini yang bertujuan mewujudkan kesedaran kepada pelajar untuk sama-sama menangani masalah dadah terutamanya sejak awal persekolahan lagi.

Saya difahamkan program Pintar merupakan pendidikan pencegahan dadah yang dilaksanakan sejak 1998.

Ia program yang dijalankan di peringkat sekolah rendah tahap dua bagi memberikan pengetahuan awal dan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Liawan, Sahanip Jamil.

Sairin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan berkata, kem Pintar 2.0 ini lebih menjurus kepada pelajar yang telah atau bersiko terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Beliau percaya melalui program itu pendidikan awal tentang bahaya dadah secara tidak langsung akan dapat memberi kemahiran pengetahuan kepada para pelajar supaya tidak terlibat dengan gejala penagihan dadah.

Program anjuran Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (ADDK) Keningau telah disertai oleh  50 pelajar Tahap Dua selama tiga hari.

Hadir sama pada majlis itu Pegawai AADK daerah Azri Golbin, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Suhaibul Suhaimin, wakil Ketua Polis Daerah ASP Mohd Danny Abdullah, Guru Besar SK Luagan Samion Amin, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sylvester Morindal dan para ibu bapa pelajar.

Advertisement