Anda di sini

Prasarana sasar projek pengangkutan dalam Indonesia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) telah menjalinkan kerjasama dengan Akademi Perkeretaapian Indonesia (API), bagi penyediaan latihan termasuk meneroka peluang- peluang perniagaan dan bidaan projek-projek pengangkutan di republik itu.

 Presiden Kumpulan Prasarana dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata republik itu sedang merancang untuk meningkatkan sistem pengangkutan Indonesia.

 “Selain daripada projek Transit Aliran Massa (MRT) di Jakarta, perkhidmatan kereta api Indonesia juga akan diperluaskan ke wilayah lain.

 “Mereka juga mempunyai rancangan untuk projek Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Jakarta dan Palembang,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum per sefahaman (MoU) program latihan bersama unit Prasarana, Prasarana Integrated Management and Engineering Services (PRIME) dan API di sini semalam.

 PRIME melalui akademi keretapinya akan menjalankan latihan untuk 78 pemandu kereta api MRT Jakarta dan seramai 20 penyelia bagi pusat kawalan operasi mulai bulan ini sehingga pertengahan 2018.

 Jakarta sedang membangunkan dua aliran MRT sepanjang 117.6 kilometer yang akan merentasi ibu negara itu, dan API adalah antara institusi-institusi yang bertanggungjawab dalam menyediakan latihan industri untuk buruh mahir negara itu.

 Azmi berkata, MoU itu bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama rapat antara Malaysia dan Indonesia.

 “Ini merupakan kerjasama yang tidak ternilai. Langkah pertama dengan kemungkinan ada kesinambungan.

 “Sepanjang tempoh latihan, kami sedang mencari potensi lain juga. Selain daripada MRT Jakarta, terdapat perkembangan yang sedang berlaku di bandar dan daerah-daerah lain di Indonesia. Kami perlu mengukuhkan kedudukan kami di sini,” katanya.

 Menurut beliau lagi, pendapatan bukan tambang dari pasaran luar negara kini menyumbang kira-kira 30 peratus kepada hasil Prasarana.

 Pembekal perkhidmatan awam itu juga sedang meneroka peluang-peluang perniagaan di Riyadh dan Jeddah di Arab Saudi, Abu Dhabi (Emiriah Arab Bersatu), Mumbai (India) dan Brunei, dan Azmi akan membuat pengumuman mengenai status bidaan itu dalam tahun ini.

 Sementara itu, Pengarah Kewangan dan Pentadbiran MRT Jakarta, Tuhiyat, berkata dalam majlis itu, Fasa Pertama MRT di Jakarta sudah siap sebanyak 69 peratus dan ia dijadualkan selesai sepenuhnya menjelang Mac 2019.

 “MRT Jakarta dibangunkan oleh kontraktor Jepun kerana ia mengambil pinjaman daripada kumpulan Jepun.

 “Selain kemungkinan MRT akan dikembangkan ke bandar-bandar lain, terdapat potensi LRT akan diperluaskan ke seluruh kepulauan Indonesia... sehingga kepada Kalimantan dan Sulawesi,” katanya.

 MRT Jakarta, dibina bagi meningkatkan hubungan, mengurangkan kesesakan lalu lintas yang teruk dan mengurangkan kos logistik, telah disokong oleh pinjaman dari kerajaan Jepun menerusi Japan Bank for International Cooperation, kemudian bergabung menjadi Japan International Cooperation Agency (JICA).

 Pinj aman da r ipada JICA itu dilaporkan bernilai 125.2 bilion yen, kira-kira US$ 1.18 bilion atau RM5.20 bilion. — Bernama

Advertisement