KOTA TINGGI: Seorang pekerja am resort dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh bulan lepas.
Mohd Firdaus Saibi, 24, didakwa memiliki 29 keping imej dan 240 video dalam telefon bimbitnya berkaitan pengganas Daesh atau mempunyai unsur perbuatan keganasan itu di hadapan sebuah resort peranginan di Kampung Sedili Kecil dekat sini pada 4.20 petang 21 Mac lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak ke atas mana-mana bahan terbabit, jika sabit kesalahan.
Walaupun tertuduh mengaku bersalah di atas pertuduhan itu, mahkamah tidak merekodkan pengakuan tersebut kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’’uddin memohon tarikh sebutan kes untuk mendapatkan laporan pakar dan meminta izin agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Majistret Mazana Sinin kemudian menetapkan 21 Mei ini bagi sebutan semula kes dan meminta tertuduh melantik peguam bela.
Kes dibawa Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’’uddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Suhaila memohon kes disebut semula kerana menunggu laporan pakar dan meminta izin agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mazana turut memerintahkan agar tertuduh melantik peguam bela untuk mewakilinya. — Bernama