Anda di sini

Kematian Diana hampir lenyapkan kewarasan Harry

Advertisement
 Gambar fail 9 April lalu menunjukkan Harry (kiri) dan William diiringi Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau (kanan) semasa menghadiri upacara peringatan ulang tahun ke-100 Perang Vimy Ridge semasa Perang Dunia Pertama di Tugu Peringatan Negara Vimy Kanada di Vimy dekat Arras, utara Perancis. — Gambar AFP
SEGAK BERGAYA: Gambar fail 9 April lalu menunjukkan Harry (kiri) dan William diiringi Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau (kanan) semasa menghadiri upacara peringatan ulang tahun ke-100 Perang Vimy Ridge semasa Perang Dunia Pertama di Tugu Peringatan Negara Vimy Kanada di Vimy dekat Arras, utara Perancis. — Gambar AFP

LONDON: Kehidupan Putera Harry dari Britain amat kacau-bilau selepas kematian ibunya Puteri Diana sebelum beliau membuat keputusan untuk mendapatkan bantuan, menurut beliau dalam satu temu bual yang disiarkan semalam.

Bercakap kepada akhbar The Telegraph, putera berusia 32 tahun menyatakan beliau mengambil masa bertahun-tahun cuba mengabaikan emosinya selepas kematian Diana pada 1997 ketika beliau baharu berusia 12 tahun.

Cara saya menanganinya adalah dengan berdiam diri, menolak untuk terlalu memikirkan tentang ibu saya, kerana bagaimana ia boleh membantu?

Ia hanya akan menyedihkan saya dan tidak akan menghidupkannya kembali,” kata beliau.

Hanya pada usia 28 tahun beliau mendapatkan bantuan daripada profesional kesihatan mental selepas mendapat galakan mereka yang lain, termasuk sokongan besar abangnya Putera William.

Dua puluh tahun saya tidak memikirkan mengenainya dan kemudian dua tahun kehidupan penuh kacau-bilau.

Saya tidak tahu apakah masalah saya,” jelas beliau.

Ketika Harry telah merujuk kepada kesedihan lalu dan membantu badan kebajikan kesihatan mental, beliau amat sensitif terhadap perhatian media dan jarang sekali beliau terbuka mengenai pengalaman peribadinya.

Diana dan teman lelakinya Dodi Fayed maut dalam nahas kereta dalam terowong di Paris pada 31 Ogos, 1997, bersama pemandu mereka rakyat tempatan Henri Paul ketika cuba melarikan diri daripada gerombolan jurugambar yang mengejar mereka.

Kematiannya menimbulkan kesedihan umum dan Harry berjalan di belakang kerandanya semasa upacara pengebumian yang disiarkan di seluruh dunia.

Harry menyatakan beliau baru-baru ini menangani kesedihan akibat kehilangan ibunya termasuk tekanan kehidupan diraja, di mana beliau berbelah bahagi untuk memenuhi tuntutan tugasnya.

Semasa satu dekad dalam pasukan tentera British, Harry yang berkhidmat dua kali di Afghanistan menemui anggota tentera dalam unit penyembuhan, satu pengalaman yang memberikan impak kepada kesihatannya.

Menyatakan dirinya bermasalah sepanjang sebahagian besar usia 20-an, Harry menyatakan aktiviti tinju turut membantunya menangani isu.

Semua orang telah menyatakan tinju baik bagi anda dan ia benar-benar bagus untuk melepaskan kemarahan,” jelas beliau.

William dan isterinya Kate berkempen bersama Harry bagi menghentikan stigma mengenai kesihatan mental, membantu badan kebajikan melalui inisiatif mereka Heads Together. — AFP

Advertisement