Anda di sini

Sarawak lakar sejarah manis

 Abdul Karim (tujuh kiri, barisan belakang) bersama meraikan kemenangan Sarawak menjulang Piala Tun Sharifah Rodziah 2017 setelah menumpaskan Kedah 1-0 di Stadium Miri petang semalam.
KAMI JUARA: Abdul Karim (tujuh kiri, barisan belakang) bersama meraikan kemenangan Sarawak menjulang Piala Tun Sharifah Rodziah 2017 setelah menumpaskan Kedah 1-0 di Stadium Miri petang semalam.

Julung kalinya menjulang Piala Tun Sharifah Rodziah setelah benam Kedah 1-0

MIRI: Sarawak mencipta sejarah buat pertama kali menjulang Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) edisi ke-30 setelah menang tipis 1-0 ke atas Kedah pada perlawanan akhir di Stadium Miri di sini petang semalam.

 Paling manis, pasukan tuan rumah Sarawak bukan hanya dilabelkan sebagai penganjur terbaik PTSR tetapi juga berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa sebarang kekalahan dan bolos sepanjang kejohanan tersebut.

 Sarawak berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai RM20,000 manakala Kedah meraih wang tunai RM10,000.

 Ketua Jurulatih Sarawak, Hakimi Man berkata sasaran kerajaan negeri untuk layak ke peringkat akhir sudahpun tercapai justeru merangkul gelaran juara adalah satu bonus paling bermakna kepada pasukan wanita Sarawak.

 “Kita bersyukur kerana dapat merealisasikan impian bergelar juara dan pujian harus diberikan kepada semua pemain mencatatkan rekod cemerlang sepanjang kejohanan ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan akhir semalam.

 Menurutnya, jika dilihat daripada kemahiran individu dan taktikal, Sarawak sememangnya kekurangan berbanding pasukan-pasukan lain namun bertekad berjuang bermati-matian dalam satu pasukan.

 “Kita nampak semua pemain bekerja keras menutup setiap ruang bagi mengekang kemaraan pasukan Kedah malah benteng pertahanan kita hanya beberapa kali diuji pemain-pemain pasukan lawan,” jelasnya.

 Kemenangan itu cukup bermakna kepada Sarawak selepas berjaya mengakhiri kemarau kemenangan PTSR selama 30 tahun.

 Sementara itu, gol tunggal kemenangan Sarawak dihasilkan oleh Siti Rohani Sabtu pada minit ke-36 selepas mengelecek dua pertahanan Kedah seterusnya melakukan sepakan dari luar kotak penalti.

 Harapan Kedah menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua tidak berhasil dengan pertahanan Sarawak begitu kukuh diketuai Rogayah Ali.

 Perlawanan akhir disaksikan lebih 3,000 penyokong tuan rumah membangkitkan semangat Sarawak dengan melancarkan beberapa gerakan berbahaya di hadapan pintu gol Kedah.

 Bagaimanapun, keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan separuh masa kedua dan suasana Stadium Miri bergema dengan kemenangan dan lagu ‘Sarawak Ibu Pertiwiku’.

 Kemenangan itu turut menggembirakan Menteri Muda dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan mengucapkan tahniah kepada pasukan Sarawak termasuk jurulatih, pengurus pasukan, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan yang terlibat secara keseluruhannya.

 “Dengan kejayaan ini, kerajaan negeri mempertimbang membagunkan pasukan bola sepak wanita seterusnya memastikan pasukan Sarawak mencapai kejayaan dalam sukan bola sepak wanita,” jelasnya.

 Dalam satu lagi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, PDRM membelasah Pahang dengan 4-1 di Stadium Miri awal pagi semalam.

 Pemain PDRM, Angela Kasi muncul wira selepas menjaringkan keempat-empat gol dalam perlawanan itu sementara gol tunggal Pahang dijaringkan oleh Puteri Noralisa Wilkinson.

 PDRM meraih wang tunai RM5,000.

 Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Menteri Muda Solidariti, Rosey Yunus.

 Perlawanan akhir itu turut disaksikan Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin, ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting, Pengerusi Jawatankuasa Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Norhuda, Ketua Jabatan Wanita FAM Normala Abdul Rashid, Presiden FAS, Datuk Posa Majais dan timbalannya, Abdul Wahab Rahim serta tetamu lain.